Berita Utama

Wujudkan mekanisme ‘peluang kerja’ bantu 772,900 penganggur

Fokus juga siswazah Bumiputera yang terjejas teruk akibat COVID-19

BANGI, 6 Rejab 1442H, Khamis – Kerajaan perlu mewujudkan mekanisme bagi mencipta peluang pekerjaan yang lebih meluas dalam usaha menangani isu pengangguran. 

Ini susulan, kadar pengangguran Malaysia meningkat kepada 4.5 peratus pada 2020, kadar tertinggi sejak 1993 yang merekodkan 4.1 peratus. 

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan, pengangguran meningkat kepada 772,900 orang dengan kadar 4.8 peratus pada Disember 2020.

Meskipun kadar di Malaysia masih ideal di bawah lima peratus, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) berharap isu pengangguran ini tetap dipandang serius oleh pihak kerajaan. 

Sehubungan itu, Presiden PEMBINA, Wafiq Azman mencadangkan supaya kerajaan memberi keutamaan kepada Bumiputera, khususnya siswazah yang tergolong dalam kategori terbesar menyumbang kepada kadar pengangguran.

Katanya, golongan belia berusia bawah 30 tahun antara yang paling teruk terjejas akibat penularan wabak COVID-19.

“Ini kerana majoriti mereka belum memiliki kestabilan kewangan kerana baru bekerja atau masih menganggur.

“Ini juga disebabkan faktor industri yang tidak berani mengambil lebih ramai pekerja baharu,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Merujuk data statistik yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan, beliau berkata, siswazah Bumiputera paling ramai menganggur, iaitu 122,100 orang dengan 71.7 peratus.

Bahkan, katanya, Bumiputera juga mencatatkan kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) paling rendah iaitu 65.3 peratus, diikuti kaum India (65.6 peratus) dan Cina (70.9 peratus).

“Saya memuji usaha kerajaan yang berusaha menyelesaikan masalah pengangguran ini melalui komitmen pelaburan, hasil koordinasi rapat antara kerajaan dan industri.

“Dianggarkan lebih 160,000 peluang pekerjaan baharu bakal diwujudkan tahun ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak bekerjasama dalam mengatasi isu pengangguran yang dianggap antara masalah serius dan mendatangkan kesan negatif kepada ekonomi negara.

“Mungkin juga pihak kerajaan perlu memberi perhatian lebih kepada bidang keusahawanan buat masa ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button