Dunia

Hakim kes letupan besar Beirut digugur kerana sikap ‘mencurigakan’

Fadi Sawan dikritik kerana selesaikan kes melampaui kuasanya

BEIRUT, 7 Rejab 1442H, Jumaat – Mahkamah Lubnan menggugurkan hakim yang mengetuai penyiasatan insiden letupan besar di pelabuhan Beirut tahun lalu – tindakan itu mungkin menunda lagi siasatan yang berdepan tekanan politik. 

Lebih enam bulan sejak insiden letupan terbesar dalam sejarah membabitkan bukan nuklear, rakyat Lubnan masih tiada jawapan mengenai punca dan berapa tan ammonium nitrat, yang disimpan secara tidak selamat di pelabuhan itu selama bertahun-tahun sehingga ia meletup. 

Letupan itu mengorbankan 200 nyawa, mencederakan ribuan yang lain dan memusnahkan seluruh daerahnya. 

Disember tahun lalu, Hakim Fadi Sawan menuduh tiga bekas menteri dan Perdana Menteri kerana cuai atas insiden letupan pada Ogos, sehingga memburukkan lagi krisis ekonomi Lubnan. 

Bagaimanapun, Fadi dikritik ketika beliau berusaha untuk menyelesaikan kes itu, sehingga dituduh melampaui kuasanya.

Beliau juga menghadapi kritikan dari Syiah Hizbullah dan bekas Perdana Menteri, Saad Hariri. 

Mahkamah kasasi memutuskan untuk menggugurkan Fadi dari kes itu pada Khamis setelah membenarkan permohonan dua bekas menteri yang didakwa, Ali Hassan Khalil dan Ghazi Zeaiter. 

Hujah keputusan itu menyebut ‘kecurigaan yang sah’ terhadap sikap berkecuali Fadi kerana kediamannya dikatakan antara yang rosak akibat letupan berkenaan.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button