Hamas mula pilihan raya dalaman lantik kepimpinan baharu
Kali terakhir adakan pilihan raya pada 2017

GAZA, 7 Rejab 1442H, Jumaat – Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) akan mengadakan fasa pertama pilihan raya dalaman untuk memilih kepimpinan baharu, lapor Anadolu.
Sumber yang rapat dengan gerakan itu memberitahu agensi tersebut bahawa fasa pertama pilihan raya akan bermula hari ini, setelah jawatankuasa persediaan menyempurnakan semua susunan yang berkaitan dengan pilihan raya.
Hamas mengadakan pilihan raya dalamannya di tiga wilayah; Semenanjung Gaza, Tebing Barat dan diaspora.
Menurut sumber itu, pilihan raya akan bermula di Semenanjung Gaza kemudian diaspora.
Berhubung mengadakan pilihan raya dalaman di Tebing Barat, sumber menjelaskan bahawa pemilihan di sana berlangsung dalam mekanisme yang kompleks dan berhati-hati.
Ini memandangkan ‘keadaan keselamatan dan pendudukan pihak berkuasa Israel yang mengejar anggota pergerakan itu’.
Hamas mengadakan pilihan raya dalam setiap empat tahun – dalam keadaan rahsia – kerana pertimbangan keselamatan.
Gerakan itu mengadakan pilihan raya terakhir pada 2017.
Sumber itu menyatakan bahawa kepemimpinan Hamas telah mengarahkan supaya pilihan raya dalaman dipercepat dan jangka waktu dipersingkatkan.
Ini susulan untuk memberikan masa kepemimpinan baharu bersedia untuk pilihan raya perundangan dan presiden Palestin yang akan berlangsung pada Mei dan Julai. – Agensi