Berita Utama

Tewas PRU15, riwayat politik GTA-Dr Mahathir berakhir

NGO perlu berpegang kepada blok lebih kuat dalam arena politik

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 25 Rabiulakhir 1444H, Ahad – Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) malam tadi menyaksikan Gerakan Tanah Air (GTA) – yang bertanding tiket Pejuang – gagal memenangi sebarang kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ia bukan perkara mengejutkan kerana blok itu boleh dikatakan masih baharu dan hanya bergantung kepada aura Tun Dr Mahathir Mohamad, yang tewas persaingan lima penjuru di kerusi Parlimen Langkawi.

Penganalisis politik, Dr Azmi Hasan menyifatkan aura bekas Perdana Menteri itu sudah tiada selepas tewas kepada calon Perikatan Nasional, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah dengan majoriti 13,518 undi.

Katanya, keputusan itu seolah-olah menunjukkan keseluruhan GTA gagal walaupun telah ditubuhkan untuk menyelamatkan umat Islam dan masyarakat Melayu.

“Tetapi hakikatnya pengundi Melayu Islam mempunyai pilihan yang lebih baik dalam kaca mata mereka.

“Sebenarnya pengundi mempunyai pilihan Barisan Nasional tetapi dua atau tiga pemimpinnya terpalit dengan masalah dan Perikatan Nasional dianggap pilihan terbaik.

“Jadi bagi GTA ini adalah pengakhiran. Besar kemungkinan pengakhiran blok GTA dalam penglibatan politik serta Dr Mahathir ketika ini,” katanya dalam temubual bersama TV Pertiwi secara langsung, hari ini.

Ditanya mengenai kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) – Gagasan Bangsa – dalam GTA, Azmi mengakui ia sesuatu hakikat yang baik.

Bagaimanapun keputusan bersama GTA-Pejuang yang mana kekuatan gabungan itu secara keseluruhan tidak begitu kuat bukan langkah bijak.

Menurut beliau, penglibatan NGO dalam arena politik bukan sesuatu yang baharu dan telah ditonjolkan menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebelum ini.

Namun keputusan tidak memihak kepada NGO berkenaan kerana bergerak secara bersendirian.

“Kali ini (NGO) bergerak dengan GTA masih juga tidak berjaya kerana gabungan itu tidak boleh memberi nilai tambah.

“Dan kita lihat bukan sahaja NGO, calon-calon Bebas juga dikatakan ramai kecundang, hilang deposit walaupun mempunyai nama.

“Chua Tian Chang di Batu dan Wong Tack di Bentong umpamanya tidak sampai seribu undi pun beliau dapat meraih,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berpendapat landasan parti adalah penting dan dapat memberi kekuatan bukan sahaja kepada calon Bebas bahkan NGO.

“Jadi bagi saya kalau NGO nak masuk bidang politik, kena ikut landasan mana. Melaka menunjukkan kalau bersendirian tak boleh, PRU15 menunjukkan kalau landasan tak kuat seperti GTA tidak juga berjaya

“Kemungkinan NGO selepas ini perlu bergantung kepada blok-blok yang lebih kuat ataupun yang telah lama berada dalam arena politik,” katanya.

Pautan Dimensi;
https://www.facebook.com/tvpertiwi/videos/1245805599315924

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button