Berita Utama

Hanya sekolah satu aliran mampu bentuk generasi baru bersatu padu

Serapkan pelajar vernakular Cina, India ke dalam sekolah kebangsaan

BANGI, 7 Rejab 1442H, Jumaat – Selagi pelajar Cina dan India mengikuti pendidikan vernakular dan sekolah swasta, selagi itu perpaduan nasional tidak akan tercapai.

Justeru, bagi menjernihkan perkara ini, kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu sepakat dan mempunyai ‘political will’ yang kuat, bahkan demi masa depan negara, mewujudkan sekolah satu aliran dengan menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Dalam hal ini, Presiden Pertubuhan Gerakan QIAM (QIAM), Datuk Sirajuddin Haji Salleh menggesa kepujian Bahasa Melayu menjadi syarat bagi mendapatkan sijil.

Berikutan sekolah Melayu yang wujud sebelum ini mampu ditutup, beliau berkata, pihaknya tidak nampak sebab kerajaan PN tidak boleh melakukan tindakan sama ke atas sekolah vernakular dan sekolah jenis kebangsaan.

“Ke arah sekolah satu aliran ini, QIAM ingin menyarankan beberapa perkara penting seperti memperkasakan semua sekolah kebangsaan dengan prasarana, teknologi, alat komputer dan sebagainya.

“Meningkatkan bilangan dan kemahiran guru di semua sekolah kebangsaan. Serapkan sekolah vernakular Cina dan India ke dalam sekolah kebangsaan dengan membawa bersama ‘good practices’ mereka. Tingkatkan pengajaran bahasa Inggeris sebagai syarat lulus peperiksaan.

“Serta menawarkan bahasa Arab, Mandarin dan Tamil sebagai subjek pilihan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, QIAM yakin bahawa sekolah satu aliran bagi semua kaum ini akan mengeluarkan generasi ‘air di hulu yang jernih’ yang bersatu-padu dengan kaum Melayu dan peribumi.

“Percayalah bahawa dalam masa 30 tahun negara akan melihat generasi baru yang bersatu padu. Itulah perpaduan nasional,” kata Sirajuddin.

BACA PENUH ULASAN QIAM BERKAITAN ISU PERPADUAN NASIONAL DI RUANGAN PENDAPAT ISMAWEB.NET

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button