Berita Utama

Majikan perlu pastikan pekerja terima suntikan vaksin

Semua pihak bertanggungjawab perangi penularan COVID-19

KUALA LUMPUR, 7 Rejab 1442H, Jumaat – Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) menasihatkan majikan agar memastikan pekerja yang diberikan kemudahan penginapan di asrama menerima suntikan vaksin bagi mencegah COVID-19.

Dalam kenyataan hari ini, presidennya Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, majikan perlu mempunyai perancangan yang betul supaya suntikan vaksin dan operasi syarikat dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan mengenai tanggungjawab majikan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446).

“Majikan yang menggajikan pekerja tempatan dan asing termasuk pekerja asing tidak didokumentasikan perlu memastikan semua pekerja menerima suntikan vaksin atau risiko didenda di bawah Akta 446,” kata Syed Hussain.

Beliau berkata, MEF menyokong cadangan agar semua pihak sama-sama bertanggungjawab memerangi penularan COVID-19.

“Semua ahli MEF sedar mengenai tanggunjawab mereka dan kami yakin mereka akan melaksanakan langkah pemvaksinan kepada pekerja seperti yang ditetapkan kerajaan,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button