Berita Utama

Pemaju perlu bayar pampasan projek lewat sebelum COVID-19

Pengecualian hanya untuk projek yang patut siap antara Mac hingga Disember tahun lalu

JOHOR BAHRU, 7 Rejab 1442H, Jumaat – Pengecualian Lanjutan Tempoh Masa (EOT) yang ditetapkan kerajaan menerusi Akta COVID-19 Melibatkan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 hanya terpakai untuk projek perumahan yang sepatutnya siap di antara Mac hingga Disember tahun lalu.

Justeru, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin, pemaju yang projeknya patut siap sebelum Mac 2020 namun terlewat, perlu membayar pampasan atau Denda Lewat Penyerahan Rumah (LAD) kepada pembeli.

“Kita (kerajaan) buat pengecualian ini kerana COVID-19 dari Mac hingga Disember 2020. Hanya untuk tempoh itu sahaja. Luar dari tempoh itu, mereka kena bayar pampasan.

“Bagaimanapun untuk projek lewat tahun ini, kita boleh pertimbang (diberi pengecualian) sekiranya rumah masih tidak siap tetapi harus dengan alasan yang kukuh. Pertimbangan ini membabitkan tempoh hingga Mac 2021,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Taman Seri Molek Perdana Fasa 1 dan Projek Perumahan Rakyat Taman Perling Johor, di sini hari ini.

Zuraida mengulas sama ada pengecualian pembayaran pampasan yang ditetapkan kepada pemaju dalam akta berkenaan turut terpakai ke atas projek perumahan yang sepatutnya siap sebelum COVID-19 menular di negara ini.

Akta COVID-19 Melibatkan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 merupakan sebahagian daripada Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020 yang diluluskan di Dewan Rakyat pada Ogos tahun lalu.

Di bawah akta perumahan ini, pemaju perumahan mendapat perlindungan sementara bagi kerja yang tertangguh akibat Perintah Kawalan Pergerakan  sejak 18 Mac 2020, termasuklah daripada disaman oleh pembeli atau bank kerana gagal menyiapkan projek pada tarikh dijadualkan siap. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button