Pengalaman ‘jaga’ sugarbaby
Yakinlah kepuraan kejar kekayaan segera melalui pelacuran moden bawa malapetaka di akhirat

MENYINGKAP laman muka buku yang menghidangkan cerita sensasi muda mudi memilih kerjaya sugar baby sebagai jalan pintas mendapat sejumlah wang mengingatkan saya kepada kehidupan mahasiswa di universiti.
Sempat memasuki sebuah kolej matrikulasi dan terpilih menjadi Majlis Perwakilan Pelajar sepanjang penggal di sana mengajar saya tentang banyak perkara dan cabaran kehidupan mahasiswi.
Masakan tidak, saya telah diamanahkan menjaga seorang siswi yang pandai tetapi hakikatnya adalah juga seorang sugarbaby yang selalu menyusup keluar dari kolej untuk bertemu ‘sugar daddy’ nya. Pada waktu itu warden telah meletakkan beliau di bawah pantauan saya kerana dikhuatiri dia akan terus lesap sehingga tidak dikesan.
Tidak dinafikan saya agak naif perihal ‘sugaring’ ini. Saya memerhatikan gerak gerinya yang halus, lemah lembut, kakinya cukup cantik dengan perhiasan gelang loceng yang sentiasa berdecing setiap kali melangkah.
Tutur katanya mempersona, lirikan senyumannya ayu, dandanan rambutnya yang keperangan semua itu ditutup persis wanita melayu terakhir dengan tudung. Namun siapa yang tahu dibalik wajah polos itu beliau berkongsi cerita yang malap dan syahdu.
Dilahirkan dan dibesarkan dari kampung, saya sangat memahami perasaan ingin bebas, anggun dan berupaya memiliki aset yang mewah seperti kawan kawan dari bandar tentunya menjadi igauan kehidupan.
Saya memahami mengapa beliau begitu tegar memastikan telefon bimbitnya sentiasa dicharge dan dalam keadaan alert menerima panggilan sepanjang masa. Saya katakan sepanjang masa kerana setiap 10 minit sekali telefonnya pasti berdering dan dia sentiasa sibuk membalas sms demi sms tanpa henti.
Dia ditempatkan di sebuah katil kosong di tepi saya dan saya sebenarnya hampir gila dengan deringan telefonnya yang setiap masa menjengah anak telinga.
Rupanya pengawasan ketat saya dan warden akhirnya sia-sia kerana dia sejurus mendapat pelepasan keluar pekan terus lesap tanpa bayang. Yang tinggal di atas meja hanya sepiring buah buahan yang mengandungi 1 biji oren dan epal..yang akhirnya lapuk dan berkulat menantikan tuan yang tidak kunjung tiba.
Sengaja saya biarkan buahan itu luput di atas meja sekadar mengingatkan kami betapa lamanya dia tidak pulang.
Saya masih ingat betapa sedihnya wajah warden apabila saya mengkhabarkan dia masih tidak pulang sejak tiga hari yang lalu. Hari ini telah genap seminggu pun berlalu.
Mahu tidak mahu keluarga terpaksa dimaklumkan dan selepas itu saya tidak tahu apa pengakhiran kehidupannya. Yang pasti keputusan exam keluar dan dia walaupun antara scorer di semester itu, masih belum nampak bayang batang hidungnya.
Saya berkongsi pengalaman memerhati, menyelami kehidupan dan keinginan seorang sugar baby yang sanggup melepaskan mahkota kehormatannya untuk seutas rantai mungkin, atau peluang makan malam mewah bersama gaun malam yang cantik, atau mendapatkan kasih sayang yang tidak syari’e dari seorang lelaki kaya yang bergelar sugar daddy.
Betapa sadisnya apabila setelah segalanya diberi parut yang tinggal harus dirawat dan ditelan wanita itu sendiri. Sugar daddy yang kaya raya itu akan berlalu mencari bunga lain untuk dihirup madunya dengan janji manis yang menghancurkan.
Hanya kerana kemewahan sementara wanita malang menjadi sedikit mewah buat sementara waktu dari duit segera hasil menjaja diri dan apabila sudah putus wang maka kitaran penjajaan dimulakan semula. Alangkah malangnya!
Q.S. Al Baqarah ayat 165
وَالَّذِينَ آمَنُوا أَشَدُّ حُبًّا لِلَّهِ
Artinya: Orang-orang yang beriman lebih kuat cintanya kepada Allah.
Q.S. Ali Imran ayat 31
قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Artinya: Katakanlah: “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu”. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Q.S. Maryam ayat 96
إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ سَيَجْعَلُ لَهُمُ الرَّحْمَٰنُ وُدًّا
Artinya: Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal saleh, kelak Allah Yang Maha Pemurah akan menanamkan dalam (hati) mereka rasa kasih sayang.
Q.S. Al-Baqarah ayat 163
وَإِلَٰهُكُمْ إِلَٰهٌ وَاحِدٌ ۖ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الرَّحْمَٰنُ الرَّحِيمُ
Artinya: Dan Tuhanmu adalah Tuhan Yang Maha Esa; tidak ada Tuhan melainkan Dia Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
Pengakhiran yang pasti bagi seorang wanita normal adalah untuk mengecap cinta hakiki dari Tuhannya, apabila segala tindak tanduknya dalam keredhaan Allah. Hatinya tidak selesa mengikat cinta sia-sia yang tidak pasti kepada seorang lelaki, apatah lagi yang hanya mahu menodai tanpa pertanggungjawaban kepada kehidupannya.
Yakinlah kepuraan untuk mengejar kekayaaan mudah dan segera dengan pelacuran moden sugardaddy-sugarbaby hanya membawa kepada satu pengakhiran yang pasti- kecelakaan di dunia dan malapetaka di akhirat.
Setitip pesan dariku untukmu,
Sahabat yang tulus mencintai.
Dr Nur Fatiha Kamarzaman
Ketua Wanita ISMA Dungun