Pendapat

Pergelutan sebuah tekad

'Kemalasan moden' yang ditawar sebabkan manusia boleh kekal lalai

TATKALA seorang mukmin berjaya melepasi pergelutan pertama, berjaya keluar daripada kelalaian seorang manusia daripada dunia, walaupun seminit, mahupun sesaat, maka Allah akan mengurniakan hidayah buat hambaNya berupa niat yang soleh.

Namun apabila menerima niat yang salah, pergelutan tarikan iman dan nafsu tidak terhenti di situ.

Seterusnya jiwa seorang manusia akan diuji dengan ‘pergelutan tekad’.

Tarikan iman meronta-ronta ingin membina tekad seorang muslim supaya meneruskan niat soleh menjadi sebuah amalan, dan di sudut yang lain tarikan syaitan menggoda dengan suatu bentuk tarikan yang cukup ringkas namun ramai yang jatuh kepadanya, iaitu tarikan kemalasan.

Tekad atau Himmah Aaliyah akhirnya mati dan dimandulkan, bukan kerana besarnya ujian yang dihadapi oleh seorang muslim, dan bukan kerana kuatnya musuh Islam, mahupun kerana tiada keupayaan untuk membina perubahan, namun hanya kerana wujudnya sikap ‘malas’ di dalam diri.

Kerana itu apabila ditanya dengan soalan mudah, mengapa tidak melakukan usaha dakwah, tarbiah, dan amal, kebanyakan jawapan adalah ‘tidak tahu’, seolah tidak mengetahui mengapa dirinya tidak melakukan apa-apa amal untuk islam!

Hakikatnya kerana sifat malas telah menutup pemikiran mereka sehinggakan berfikir untuk beramal juga telah berdarah daging!

Inilah bentuk kemalasan moden, yang perlu difahami oleh generasi milenia. Kemalasan bukanlah bererti duduk tidak melakukan apa-apa perkara namun lebih dalam merujuk kepada keinginan diri dan ruh, Ibnu Qayyim di dalam kitabnya Miftah Dar Sa’adah mengatakan seperti berikut:

‘Kelemahan (‘Ajzun) dan kemalasan adalah dua yang tidak terpisah, kelemahan hakikatnya adalah tiada kemampuan/kudrat, manakala malas hakikatnya adalah tiada kemahuan’.

Malas secara ringkasnya adalah ‘tidak melakukan sesuatu perkara, dalam keadaan mampu melakukannya’ seperti yang dinaqalkan daripada Ibnu Hajar di dalam Fath Bari.

Seorang yang sedang malas hakikatnya mampu membantu umat ini, dia mampu bersedekah, mampu berdakwah, mampu menasihati manusia lain, mampu menulis, mampu berbakti kepada kedua ibu bapanya, namun dia tidak melakukannya! Mengapa, hanya kerana dia malas! Yakni pada hakikatnya tidak mahu melakukan semua itu walaupun pernah hadir sebagai sebuah niat.

Inovasi kelalaian yang menghilangkan tindakan dikembangkan menjadi sebuah ‘sistem kemalasan moden’. Jika diperhatikan, apa-apa kelalaian akan dicipta dan direka bentuk supaya manusia kekal di dalam kelalaian membentuk sebuah inovasi kemalasan.

Sebagai contoh Netflix, pada tahun 2017 apabila buat kali pertama keuntungan bersih Netflix mencapai ASD500 juta (hampir 3 kali ganda daripada tahun sebelumnya), dan Netflix mendapat resipi bagi ‘memalaskan manusia’, maka kata-kata Reed Hasting, CEO Netflix cukup jelas: “Musuh terbesar kami adalah tidur”.

Bererti kemalasan moden yang ditawarkan adalah sehingga manusia boleh kekal lalai, dan andai tidak perlu tidur, maka akan kekal lalai dengan tersedia 2.2 juta minit video untuk dilihat!

Netflix hanyalah satu contoh daripada ribuan ‘kemalasan moden’ yang wujud.

Sebuah hakikat yang nyata, kemalasan moden akhirnya akan menghilangkan tekad/himmah aaliyah seorang pejuang untuk beramal.

Benarlah firman Allah di dalam Surah At-Taubah ayat:38 :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ مَا لَكُمْ إِذَا قِيلَ لَكُمُ انفِرُواْ فِي سَبِيلِ اللّهِ اثَّاققَلْتُمْ إِلَى الأَرْض
أَرَضِيتُم بِٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا مِنَ ٱلْءَاخِرَةِ ۚ فَمَا مَتَٰعُ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا فِى ٱلْءَاخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ

Hai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya bila dikatakan kepadamu: “Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah” kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) diakhirat hanyalah sedikit

Berat di sini bererti ‘Bermalas’! (berdasarkan Tafsirr As-Sa’di), maka kemalasan hanyalah berpunca daripada ingin puas menikmati dunia, maka hanya satu sahaja jalan keluar daripada perangkap kemalasan moden, kembali kepada cinta ilahi dan mencintai jalan menuju kebahagiaan akhirat.

Kemalasan adalah sebab sebuah kesakitan, kerana dengan malas hilanglah kecintaan kepada yang Benar (Allah dan Rasul), maka sakitlah ruh dengan hilangnya cinta, dan betapa lazatnya ruh seseorang dengan hilangnya kemalasan, begitulah ringkasan nasihat Imam Ibnu Qayyim.

Maka dengan mendidik ruh mampu menikmati kecintaan Allah lebih daripada kerehatan, kecintaan Nabi Muhammad lebih daripada pelakon-pelakon yang digilai, kecintaan perjuangan lebih daripada kelalaian. Hanya dengan kenikmatan mencintai Allah, Rasul dan Perjuangan lebih daripada segalanya akan mengembangkan niat yang baik menjadi sebuah tekad yang kuat.

Tatkala seorang muslim meninggalkan ‘kemalasan’ yang memasak lekat dirinya pada dunia seperti ayat 38 di atas, maka dia akan dikurniakan kekuatan untuk akhirnya mempunyai sebuah tekad dan keazaman untuk mengatakan “aku menunggu kemenangan, ataupun syahid” seperti sambungan cerita perjuangan di dalam Surah at-taubah berdasarkan ayat 52:

قُلْ هَلْ تَرَبَّصُونَ بِنَآ إِلَّآ إِحْدَى ٱلْحُسْنَيَيْنِ

Katakanlah: “(Sebenarnya) tidak ada yang kamu tunggu-tunggu untuk kami melainkan salah satu dari dua perkara yang sebaik-baiknya (iaitu kemenangan atau mati syahid)

Moga Allah memberikan kemenangan mahupun syahid, dan menjadikan kita golongan yang mengimpikannya.

Ustaz Mohd Suhail Mohd Sufian
Naib Pengerusi Majlis Ulama Islam ISMA (MUIS)

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button