Puad Zarkashi sahkan terima surat saman RM10 juta PM
Tegaskan tak perlu mohon maaf atau padam hantaran di FB

BANGI, 7 Rejab 1442H, Jumaat – Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengesahkan menerima surat tuntutan (LOD) daripada peguam Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta beliau memadam kenyataan bertarikh 9 Februari mengenai kuarantin dari laman Facebooknya.
Dalam surat itu, Mohd Puad berkata, beliau juga akan dikenakan tindakan saman oleh Muhyiddin dan bakal menyerahkan hal itu kepada peguamnya untuk dikendalikan.
“Sebagai individu yang dijamin kebebasan bersuara, saya tidak akan benarkan diri saya dibuli Tan Sri Muhyiddin seperti mana UMNO dibuli.
“Saya tidak perlu memohon maaf dan tidak perlu memadam posting (hantaran) dalam FB (Facebook) saya.
“Justeru, saya memilih ke mahkamah. Ini akan memberi peluang kepada saya untuk bersama rakyat yang membantah amalan ‘antara dua darjat’ dalam isu kuarantin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Muhyiddin menuntut Mohd Puad memohon maaf secara terbuka dan membayar ganti rugi sebanyak RM10 juta kerana didakwa memfitnahnya menerusi hantaran di Facebook, minggu lalu.
Dalam surat tuntutan dihantar firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership kepada Mohd Puad hari ini, Muhyiddin antara lain menuntut Mohd Puad memadam kenyataan bertarikh 9 Februari mengenai kuarantin dari laman Facebooknya.
Tuntutan itu dibuat terhadap kenyataan Mohd Puad bahawa Muhyiddin enggan dikuarantinkan sekembalinya dari lawatan rasmi ke Jakarta pada 5 Februari lalu sehingga kerajaan terpaksa mewartakan perintah kuarantin tiga hari terhadap menteri.
Firma guaman itu juga diarah untuk menuntut Mohd Puad menyatakan permohonan maaf secara terbuka disiarkan secara jelas dan segera di laman Facebooknya dan semua portal berita dan media sosial yang menyiarkan kenyataan yang didakwa berunsur fitnah itu.
Selain itu, Mohd Puad juga dituntut mengeluarkan aku janji bertulis untuk tidak mengulangi atau menerbitkan kenyataan sama atau seumpama itu dalam apa jua cara sekalipun.
Mengulas mengenai perkara itu, Mohd Puad berkata, pihaknya tidak akan berganjak selain menyifatkan tindakan saman dikenakan ke atasnya bertujuan untuk menutup mulut serta menakutkan para pengkritik.
Katanya, beliau dituduh memfitnah Perdana Menteri, sedangkan beliau hanya bertanya dan meminta penjelasan.
“Kalau itu pun disaman, maka amat wajar saya melawan di mahkamah.
“Oleh kerana peraturan kuarantin tiga hari untuk menteri dibuat tergesa-gesa, maka ia isu ‘kepentingan awam’ yang perlu ditanya dan dipersoalkan.
“Ini kerana dalam Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan disebut dengan jelas rakyat berhak mendapat layanan yang adil dan saksama. Maka apakah ‘kuarantin’ tiga hari tidak bertentangan dengan Artikel 8?” soalnya.