Berita Utama

Sekolah dibuka mulai 1 Mac

Sesi Pdp Tahun Tiga hingga Enam bermula pada 8 Mac

KUALA LUMPUR, 7 Rejab 1442H, Jumaat – Sesi persekolahan secara bersemuka yang ditangguhkan sebelum ini susulan peningkatan kes COVID-19 akan bermula pada 1 Mac ini, kata Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata, keputusan itu melibatkan murid prasekolah, Tahun Satu dan Tahun Dua, sementara untuk Tahun Tiga hingga Enam sesi akan bermula pada 8 Mac. 

“Pelajar sekolah menengah di negeri Kumpulan A akan hadir ke sekolah pada 4 April manakala pelajar sekolah menengah di negeri Kumpulan B pada 5 April, iaitu selepas tamat sesi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata, keputusan membenarkan pelajar sekolah rendah untuk mengikuti sesi persekolahan lebih awal adalah bagi memberi ruang kepada murid dan guru menyesuaikan diri dengan suasana norma baharu dan juga prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

Kumpulan A membabitkan sekolah di Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu manakala Kumpulan B melibatkan sekolah di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button