Tarbiyah

Buat persiapan hadapi sebaik-baik bulan

Berusaha raih pengampunan Allah, banyakkan amal-amal kebajikan

REJAB bermaksud membesarkan atau mengagungkan. Selain itu, ia dinamakan bulan Rejab kerana mereka mengagungkan bulan ini ketika zaman al-Jahiliyyah dengan meninggalkan peperangan padanya. Perkataan jama’ bagi Rejab adalah Arjab (أرجاب) dan jika digabungkan Rejab dan Sya’ban dinamakan sebagai Rajaban (رجبان). [Lihat: _Mukhtar al-Shihah_, 118].

Di samping itu, Rejab merupakan bulan ke tujuh daripada Tahun Hijri dan ia merupakan antara bulan Haram yang diharamkan peperangan atau pembunuhan padanya. Bulan ini datang selepas daripada Jumadi al-Akhir dan selepasnya adalah Sya’ban.

Fatwa Ulama’-Ulama’ Berkaitan Puasa Rejab

Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah [Lihat: al-Mausu’ah al-Kuwaitiyyah, 95/28] mengatakan bahawa jumhur ulama’ daripada mazhab al-Hanafiyyah, al-Malikiyyah dan al-Syafieyyah mengatakan sunat berpuasa pada bulan-bulan Haram. Ini kerana, mereka berdalilkan dengan sebuah hadith daripada Imam Muslim:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَفْضَلُ الصَّلَاةِ، بَعْدَ الصَّلَاةِ الْمَكْتُوبَةِ، الصَّلَاةُ فِي جَوْفِ اللَّيْلِ، وَأَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ، صِيَامُ شَهْرِ اللهِ الْمُحَرَّمِ

Maksudnya: “Sebaik-baik solat selepas daripada solat fardhu adalah solat malam dan sebaik-baik puasa selepas daripada Ramadhan adalah puasa pada bulan Allah al-Muharram”. [Riwayat Muslim (1163)]
Sumber: https://muftiwp.gov.my/…/888-tahqiq-masail-siri-ke-3…

Maka, dapat disimpulkan bahawa bulan Rejab ialah antara bulan yang amat mulia di sisi Allah. Ia dimuliakan oleh umat Islam dengan pelbagai amalan sunat seperti berpuasa.

Tambahan lagi, kerana hampirnya kita kepada bulan yang termulia iaitu Ramadan Al-Mubarak yang bakal menjelang, marilah kita bersama memuhasabah diri atas apa yang pernah dilakukan pada bulan-bulan terdahulu dan berusaha meraih pengampunan Allah S.W.T. serta memperbanyakkan amal-amal kebajikan.

Semoga kita semua menjadi hamba yang benar-benar ikhlas dan bertaqwa, berusaha untuk melakukan yang terbaik dalam segala tanggungjawab dan amal kebaikan, serta bersedia untuk menyambut Ramadan Al-Mubarak dengan persediaan yang rapi dari sudut rohani, aqli dan jasmani. InsyaAllah.

Ustaz Zuhair bin Abdul Rahman
Pemuda Isma

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button