Berita UtamaPendapat

Jangan perlekeh usaha guru

Pertuturan adalah perkara amat dijaga sahabat nabi

1.AKHBAR Kosmo semalam melaporkan tentang tindakan Radio Hitz FM yang menggantung sementara tugas penyampai radio lelaki Hitz FM Sarawak berhubung perbuatannya mentertawakan seorang guru di saluran DidikTV.

2. Tindakan tegas sebegini perlu diambil. Ia bagi mendidik masyarakat agar meletakkan guru di kedudukan yang selayaknya.

Islam melarang kita memperlekeh apatah lagi mempersendakan usaha murni seorang guru yang sedang mendidik anak bangsa.

3. Rasulullah ﷺ menanamkan ke dalam jiwa para sahabat agar sentiasa memuliakan guru. al-Imam Ahmad meriwayatkan hadith tentang bagaimana Rasulullah mendidik para sahabat agar memberikan hak dan penghormatan kepada guru.

Sabda Rasulullah ﷺ:

ليس من أمَّتي من لم يُجلَّ كبيرنا، ويرحم صغيرنا، ويعرف لعالمنا

“Bukanlah dikalangan umatku mereka yang tidak memuliakan orang yang lebih tua, mereka yang tidak menyayangi anak-anak kecil, dan mereka yang tidak memberikan hak kepada guru kami,” (HR Ahmad)

4. al-Imam al-Ghazali pula adalah tokoh yang sangat memuliakan guru. Sehingga beliau menegaskan bahkan meletakkan kedudukan guru lebih mulia dari kedudukan ibubapa.

Kata al-Imam al-Ghazali:

فإنَّ الوالد سببُ الوجود الحاضر، والحياة الفانية، والمعلم سبب الحياة الباقية

“Sesungguhnya ibubapa adalah sebab kewujudan seorang anak dimuka bumi ini, namun kehidupan ini akan binasa. Sedangkan guru adalah sebab kepada kejayaan abadi seseorang di akhirat yang kekal selamanya,” (al-Ghazali Ihya Ulum al-Din)

5. Para sahabat nabi dahulu sangat memuliakan guru mereka. Urwah ibn Mas’ud menceritakan bagaimana para sahabat nabi amat menghormati guru mereka iaitu Rasulullah ﷺ.

Menurut beliau:

وإذا تكلم خفضوا أصواتهم عنده، وما يُحِدُّون إليه النظر تعظيمًا له

“Para sahabat akan bercakap dengan suara yang rendah (sopan) ketika bertutur dengan Baginda ﷺ, serta tidak menajamkan pandangan mereka (merenung dengan tajam) kerana menghormati Rasulullah ﷺ.

6. Pertuturan adalah antara perkara yang amat dijaga oleh para sahabat.

Mereka tidak meninggikan suara di sisi guru dan mereka tidak menarik muka apabila berhadapan dengan guru. Jauh sekali untuk mereka memperlekehkan atau mentertawakan seorang guru.

7. Begitu tinggi adab dan penghormatan yang diterapkan oleh Islam dalam menghormati guru.

Oleh itu, setiap ibubapa hendaklah mendidik anak bangsa ini agar sentiasa memberikan penghormatan buat guru.

Negara ini tidak akan membangun tanpa pengorbanan seorang guru.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button