Berita Utama

Jangan takut ambil vaksin COVID-19

Situasi yang berlaku di beberapa negara adalah kesan advers susulan imunisasi (AEFI) vaksin COVID-19, bukannya kesan sampingan

KUALA LUMPUR, 8 Rejab 1442H, Sabtu – Orang ramai diminta tidak bimbang untuk mengambil vaksin COVID-19 susulan terdapat dakwaan pengambilan vaksin itu boleh menyebabkan berlakunya kesan sampingan.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan (KKM), Norleen Mohamed Ali berkata, apa yang berlaku dalam pengambilan vaksin itu di beberapa negara adalah kesan advers susulan imunisasi (AEFI) vaksin COVID-19, bukannya kesan sampingan.

Ia tindak balas seperti bengkak dan rasa sakit di bahagian disuntik dan bukanlah perkara luar biasa.

Beliau berkata, kira-kira 80 peratus penerima vaksin jenis itu mendapat kesan advers sebegitu selain peratusan kecil yang mengalami kesan seperti demam, sakit kepala, loya, muntah dan juga letih-letih badan.

“Ini merupakan reaksi yang biasa untuk pemberian mana-mana vaksin sebab ini merupakan yang kita panggil kesan ‘reactogenicity’ yang mana ia merupakan kesan vaksin ini bertindak balas di dalam badan untuk membangunkan imuniti, berikan perlindungan seterusnya daripada jangkitan.

“Daripada situ juga, kita dapati ada peratusan yang sangat kecil dan sangat jarang berlaku kesan advers yang kita klasifikasikan sebagai lebih teruk atau lebih serius,” katanya ketika memberi penerangan tentang ‘AEFI Vaksin COVID-19’ pada taklimat media berkaitan imunisasi COVID-19 oleh KKM secara maya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button