Berita Utama

PAS ‘ugly king maker’, boleh tukar fatwa halalkan tindakan politik

Hukum dan label sesiapa saja sebagai anti-Islam, bidas Puad Zarkashi

BANGI, 14 Safar 1445H, Khamis – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi secara sinis membidas kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengenai pembabitan PAS ketika ini sebagai ‘king maker’.

Menurut Puad, beliau sememangnya bersetuju dengan kenyataan Muhammad Sanusi itu, tetapi menegaskan parti berkenaan hanyalah sekadar ‘ugly king maker’.

“Menurut Sanusi, hayat politik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi boleh panjang jika bekerjasama dengan PAS. Menurutnya lagi PAS adalah ‘king maker’.

“Betul, PAS adalah ‘king maker’. Tetapi ‘ugly king maker’. PAS boleh tukar fatwa untuk menghalalkan tindakan politiknya. PAS tinggalkan siapa sahaja yang dia mahu,” dakwanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau mendakwa, PAS akan menghukum dan melabel sesiapa sahaja sebagai anti-Islam untuk menjadi ‘king maker’.

“PAS jadi angkuh kerana kini dia ‘king maker’ kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Bersatu,” dakwanya.

Sebelum ini, Sanusi mendakwa mana-mana gerakan politik pada waktu ini memerlukan penglibatan PAS yang disifatkan sebagai ‘king maker’.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu turut menyifatkan, PAS ketika ini menjadi parti yang berpengaruh besar dalam menentukan hala tuju mana-mana pihak termasuk parti politik lain.

“Saya rasa kalau tidak melibatkan PAS secara serius tidak akan ke mana-mana, semua gerakan politik di Malaysia pada hari ini mesti melibatkan PAS, King Maker.

“Kalau Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi nak buat apa-apa tanpa libat PAS tak akan berjaya sambung hayat politik dia,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button