Berita Utama

UMNO mahu kerajaan fokus tangani COVID-19, bantu rakyat

Kembalikan fungsi Perlembagaan sejurus darurat capai matlamat

KUALA LUMPUR, 28 Jamadilawal 1442H, Selasa – UMNO akur dengan titah perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengisytiharkan darurat dalam memerangi wabak COVID-19, serta mahu kerajaan memfokuskan segala usaha untuk mengawal pandemik itu.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataanya hari ini berkata parti itu turut berharap sepanjang darurat COVID berlangsung, prinsip hak asasi manusia, kebebasan sivil, ketelusan dan kedaulatan undang-undang tetap dipelihara.

Beliau berkata kerajaan perlu mengambil berat kepentingan rakyat dan menyelesaikan isu yang menyentuh kelangsungan hidup rakyat, terutamanya berkenaan pengeluaran i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tanpa syarat dan lanjutan moratorium.

Bagaimanapun katanya usaha harus dilakukan untuk segera mengembalikan dan memulihkan fungsi Perlembagaan dan amalan demokrasi berparlimen sejurus darurat yang diproklamasikan mencapai matlamatnya.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan hingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan Istana Negara hari ini berkata Seri Paduka memberi perkenan tempoh pelaksanaan darurat itu atau hingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button