Berita Utama

Masih berlaku pergerakan tanah di lokasi runtuhan tebing di Pasir Mas

Ada rumah alami rekahan besar selain bunyi aliran air bawah tanah

PASIR MAS, 8 Rejab 1442H, Sabtu – Masih berlaku pergerakan tanah secara perlahan di lokasi kejadian runtuhan tebing Sungai Kelantan berdekatan Dataran Air Muleh di Kampung Jalan Pohon Celagi di sini, sejak semalam.

Berdasarkan laporan dari Sekretariat Pengurusan Bencana Pasir Mas mendapati ada rumah di kawasan itu mengalami rekahan yang semakin besar selain bunyi aliran air bawah tanah.

Susulan itu, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dan jangan sesekali menceroboh ke kawasan itu untuk melihat lokasi kejadian kerana dibimbangi boleh berlaku perkara tidak diingini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, ACP Mohd Roy Suhaimi Sarif berkata, 12 pegawai dan anggota polis ditempatkan di lokasi kejadian bagi membuat pemantauan 24 jam.

Beliau berkata, kesemua pegawai dan anggota yang ditempatkan di situ akan bertugas dalam tiga syif bagi memastikan tiada pihak yang menceroboh kawasan tersebut.

“Selain polis, lokasi kejadian runtuhan tebing itu juga turut dipantau oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (sembilan orang), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (12) Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) sembilan anggota dan Majlis Daerah Pasir Mas (12).

Turut membantu di lokasi adalah anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Parit dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Jelasnya, sejak kejadian 16 Feb lalu sehingga semalam, lima rumah telah musnah manakala lima lagi berisiko untuk runtuh.

“Setakat ini jumlah mangsa yang dikenal pasti adalah seramai 71 dewasa dan 28 kanak-kanak. Kesemua mangsa sudah ditempatkan di Dewan Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM),” tambahnya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button