Satelit dedah Israel perluas tapak nuklear Dimona secara rahsia
Tujuan aktiviti pembinaan masih belum diketahui

TEL AVIV, 8 Rejab 1442h, Sabtu – Gambar satelit baharu menunjukkan bahawa negara haram Israel – satu-satunya pemilik senjata nuklear di Timur Tengah – sedang melakukan aktiviti pembinaan di tapak nuklear Dimona di Gurun Negev.
Perkara berkenaan didedahkan dalam satu laporan oleh kumpulan pakar nuklear bebas dari 17 negara, Panel Bahan Api Fosil Antarabangsa (IPFM) pada Khamis.
Laporan itu mendedahkan, tapak pembinaan berkenaan terletak berdekatan dengan reaktor nuklear dan kilang pemprosesan semula.
Laman web IPFM turut mendedahkan bahawa aktiviti di tapak itu telah diperluas dan sedang giat dijalankan dengan kehadiran banyak kenderaan pembinaan.
Bagaimanapun, tujuan aktiviti pembinaan masih lagi belum diketahui.
Sementara itu, penyelidik program Sains dan Keselamatan Global di Princeton University, Pavel Podvig berkata, projek itu telah dilancarkan pada akhir tahun 2018 dan 2019, namun tarikh sebenar dimulakan juga masih belum diketahui.
Israel sememangnya menyembunyikan maklumat mengenai program senjata nuklear, namun negara penjajah itu dipercayai menyimpan kira-kira 90 senjata nuklear di gudangnya, menurut Persekutuan Saintis Amerika Syarikat (FAS).
FAS berkata, senjata nuklear dihasilkan daripada plutonium yang diperoleh di reaktor air di Dimona. – Agensi