Berita Utama

Syor suntikan vaksin COVID-19 diberi kepada kepada guru kadar segera

Pembukaan sekolah harap dapat atasi isu murid tercicir akses pendidikan

BANGI, 8 Rejab 1442H, Sabtu – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) mencadangkan supaya suntikan vaksin COVID-19 diberikan kepada guru dengan kadar segera, susulan pembukaan semula sesi persekolahan mulai 1 Mac ini.

Presidennya, Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, perkara itu penting bagi mengelakkan jangkitan virus serta menjamin keselamatan dan kesihatan guru ketika menjalankan tugas.

“Ini kerana aspek keselamatan dan kesihatan wajib menjadi keutamaan dalam memerangi COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Radzi Jidin pada Jumaat berkata, sesi persekolahan secara bersemuka yang ditangguhkan sebelum ini susulan peningkatan kes COVID-19 akan bermula pada 1 Mac.

Beliau berkata, keputusan itu membabitkan murid prasekolah, Tahun Satu dan Tahun Dua, sementara untuk Tahun Tiga hingga Enam sesi akan bermula pada 8 Mac.

“Pelajar sekolah menengah di negeri Kumpulan A akan hadir ke sekolah pada 4 April manakala pelajar sekolah menengah di negeri Kumpulan B pada 5 April, iaitu selepas tamat sesi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020,” katanya.

Menyambut baik perkara itu, Ustaz Mohd Azizee berharap pengumuman itu dapat meredakan kerisauan ibu bapa terhadap anak-anak mereka yang belajar di rumah, terutama pra sekolah, tahun 1 dan 2 serta murid yang menduduki peperiksaan tahun ini.

Beliau berkata, langkah memulakan operasi persekolahan kepada murid pra sekolah dan tahap 1 adalah pratikal, memandangkan mereka sukar mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

Tambahan pula, katanya, terdapat ibu bapa yang bekerja dan tidak dapat membantu mengajar anak-anak di rumah.

“Pembukaan ini diharap dapat mengatasi isu keciciran murid-murid dari mendapat akses pendidikan dan menangani isu literasi dan numerasi.

“Program Transisi lebih berkesan dijalankan secara bersemuka kerana tidak semua ibu bapa dapat menjadi guru di rumah,” katanya.

Pada masa sama, Ustaz Mohd Azizee menasihatkan semua pihak terutama guru, ibu bapa dan murid-murid untuk saling bekerjasama dalam memastikan sesi persekolahan kelak berjalan dengan baik dalam norma baharu.

Katanya, perkara itu boleh dilaksanakan dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta disiplin yang tinggi.

“Semua warga guru perlu patuh kepada pekeliling dan garis panduan pelaksanaan pembukaan dan pengoperasian sekolah yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang ditambah baik dari semasa ke semasa,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button