Berita Utama

Tok Mat dakwa keputusan ‘flip flop’ buka sekolah susahkan pelajar, ibu bapa, guru

Wajar perkasakan pembelajaran digital sementara negara pulih COVID-19

BANGI, 8 Rejab 1442H, Sabtu – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu menghentikan keputusan secara sela-menyela atau ‘flip flop’ berhubung pembukaan dan penutupan sekolah.

Menyifatkannya situasi itu menyusahkan pelajar, ibu bapa dan guru, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mendakwa, ramai telah bergolok bergadai membelikan pelbagai peranti digital bagi pembelajaran secara online. 

“Semua ini sangat membebankan kepada mereka yang berpendapatan rendah dan mempunyai keluarga yang besar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahan pula, kerajaan baru sahaja melancarkan DidikTV bagi maksud menjayakan mod pengajaran dan pembelajaran di rumah. 

Beliau berkata, semua ini menghantar isyarat yang sangat mengelirukan tentang ke mana halatuju sebenar mod pendidikan digital KPM.

“KPM wajar memperkasakan pembelajaran digital sementara negara pulih sepenuhnya dari wabak COVID-19 ini.

“Mengambil kira segala kemungkinan dan kemampuan kita menangani dampak wabak ini sebelum membuat keputusan membuka semula sekolah adalah sangat mustahak.

“Pendidikan anak-anak kita adalah urusan penting yang tidak boleh terhenti dan menjadi kucar kacir dengan keputusan secara sela menyela sebegini,” katanya.

Semalam, KPM secara tiba-tiba menetapkan pembukaan sekolah bermula 1 Mac ini untuk pelajar sekolah rendah iaitu pra sekolah, tahun 1 dan Tahun 2.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd. Radzi Md Jidin berkata, bagi pelajar Tahun 3 hingga Tahun 6 pula akan bermula 8 Mac ini.

Sementara pelajar sekolah menengah ditetapkan selepas cuti pertengahan penggal iaitu pada 4 April bagi sekolah Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) manakala 5 April bagi Kumpulan B.

Keputusan itu menjadi pertikaian ramai pihak lebih-lebih lagi apabila DidikTV baru sahaja dilancarkan dan kira-kira 150,000 komputer riba, tablet dan data yang melibatkan dana sebanyak RM150 juta dilaporkan akan diedarkan pada bulan ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button