Berita UtamaDunia

Arab Saudi mahu labur RM80.8 bilion hasilkan senjata sendiri

Riyadh juga rancang tambah dana R&D ketenteraan

RIYADH, 9 Rejab 1442H, Ahad – Arab Saudi akan melabur sehingga AS$20 bilion (RM80.8 bilion) bagi menghasilkan lebih banyak senjata sendiri dan sistem ketenteraannya dalam dekad yang akan datang.

Negara itu mahu membelanjakan sekurang-kurangnya separuh daripada anggaran ketenteraannya secara tempatan pada tahun 2030.

“Kami akan melabur lebih dari AS$10 bilion (RM40.4 bilion) dalam industri ketenteraan di Arab Saudi dalam dekad yang akan datang. 

“Jumlah yang sama juga untuk penyelidikan dan pembangunan,” kata Gabenor Lembaga Umum Industri Ketenteraan (GAMI), Ahmed bin Abdulaziz Al-Ohali, dalam persidangan pertahanan di Abu Dhabi.

Beliau mengatakan kerajaan merancang untuk meningkatkan dana penyelidikan dan pembangunan (R&D) ketenteraan dari 0.2 peratus kepada empat peratus pengeluaran persenjataan pada tahun 2030.

Pengumuman itu susulan keputusan Amerika Syarikat (AS) bulan lalu yang mengisytiharkan pembekuan sementara beberapa penjualan senjata ke Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pentadbiran baru Presiden AS, Joe Biden mengumumkan akan menghentikan pelaksanaan perjanjian senjata era Donald Trump baru-baru ini, termasuk penjualan senjata api ke Arab Saudi dan jet pejuang F-35 ke UAE.

Langkah itu bertujuan untuk menekan negara-negara tersebut mengakhiri perang di Yaman. 

Pada masa sama, negara lain juga menghadapi gesaan untuk menghentikan penjualan senjata kepada negara Teluk.

Kerajaan UK telah menghadapi kritikan dari aktivis setelah didedahkan bahawa penjualan senjata berjumlah AS$1.9 bilion (RM7.6 bilion) telah dipersetujui antara bulan Julai dan September 2020, setelah larangan penjualan ke Arab Saudi ditarik balik ketika itu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button