Berita Utama

DHL Express cerita pengalaman bawa vaksin ke Malaysia

15,000 penerbangan lagi untuk hantar vaksin ke seluruh dunia

SEPANG, 9 Rejab 1442H, Ahad – Penghantar perkhidmatan ekspres, DHL Express bangga dapat menjadi sebahagian daripada kumpulan menguruskan penghantaran vaksin COVID-19.

DHL Express sebelum ini dilantik sebagai ejen untuk pengedaran vaksin Pfizer BioNTech di peringkat global.

Perjalanan vaksin Pfizer-BioNTech ke Malaysia yang tiba pagi tadi menggunakan pesawat MH604, dari kilang Pfizer di Belgium diuruskan oleh Pfizer dan DHL melalui perjanjian di peringkat global.

Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei, Julian Neo berkata, pihaknya melalui pelbagai cabaran semasa menguruskan penghantaran ini.

Beliau berkata, salah satu cabaran utama yang dihadapi ketika penghantaran vaksin COVID-19 adalah memastikan suhu berada pada tahap yang telah ditetapkan.

Katanya, vaksin tersebut diletakkan dalam bungkusan termal yang direka khas untuk memastikan suhu vaksin itu mencapai piawaian yang ditetapkan oleh pengeluar.

“Setiap penghantaran dibungkus dengan ais kering bagi mengekalkan tahap suhu dan juga mengelakkan sebarang masalah berlaku apabila penghantaran ke kawasan yang kekurangan infrastruktur.

“Selain itu, setiap bungkusan termal yang mengandungi vaksin itu juga turut dilengkapi dengan alat penjejak sistem kedudukan global (GPS) bagi memantau kedudukan dan keberadaannya sepanjang proses penghantaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, bagi memenuhi keperluan vaksin global dalam tempoh dua tahun ini, syarikat itu menjangkakan penggunaan 200,000 pembungkus pallet, 15 juta kotak penyejuk serta 15,000 penerbangan bagi menyempurnakan rantaian penghantaran vaksin di seluruh dunia.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button