Berita UtamaDunia

Dua penunjuk perasaan di Myanmar maut ditembak

Rakyat terus bantah rampasan kuasa, protes seluruh negara belum berakhir

MANDALAY, 9 Rejab 1442H, Ahad – Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh dan beberapa yang lain cedera di bandar kedua Mandalay di Myanmar, selepas pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaaan. 

Kematian pada hari Sabtu itu menandakan hari paling berdarah setelah lebih dua minggu demonstrasi besar-besaran diadakan bagi membantah rampasan kuasa tentera – yang menggulingkan pemimpin Aung San Suu Kyi.  

Insiden di bandar kedua terbesar itu bertukar ganas selepas penunjuk perasaan mula bertindak luar kawalan dan turut membaling batu sebagai cubaan untuk mengusir pihak berkuasa.

Pihak berkuasa tentera bertindak balas dengan melepaskan gas pemedih mata, meriam air dan peluru getah pada penunjuk perasaan.

Pasukan penyelamat kecemasan yang berpusat di Mandalay, Hlaing Min Oo mengesahkan dua terbunuh – salah seorangnya remaja – ditembak di kepala.

Selain itu, sekurang-kurangnya lima orang cedera akibat peluru getah dan terpaksa dibawa ke hospital, menurut wartawan agensi berita Associated Press yang berada di tempat kejadian. 

Media tempatan melaporkan lebih daripada 12 orang ditangkap selepas pertempuran.

Protes di seluruh negara tidak menunjukkan tanda akan surut walaupun tindakan keras oleh pemerintah tentera baru-baru ini – termasuk malam keenam berturut-turut di mana perkhidmatan internet disekat selama berjam-jam.

Penunjuk perasaan juga berkumpul di tempat lain di Yangon, melaungkan dan memegang papan nama dan gambar pemenang Nobel Aung San Suu Kyi, yang telah ditahan sejak pemerintahannya yang dipilih secara demokratik. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button