Berita Utama

Ekonomi negara dijangka pulih mulai pertengahan tahun

Keutamaan perlu diberikan kepada penerima vaksin dari kalangan sektor perkhidmatan, perkilangan

KUALA LUMPUR, 9 Rejab 1442H, Ahad – Ekonomi negara dijangka menunjukkan perkembangan positif menjelang pertengahan tahun ini sejajar dengan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang akan bermula pada Rabu depan.

Felo Akademi Sains Malaysia, Datuk Dr Madeline Berma berkata, para pakar ekonomi meramalkan Malaysia berupaya memulihkan ekonomi bermula suku ketiga tahun ini, bergantung kepada kelancaran pelaksanaan program vaksinasi berkenaan.

“Ini juga sejajar dengan ramalan yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi yang menjangkakan ekonomi negara akan pulih sekitar 4.5 hingga lima peratus,” katanya menerusi program liputan khas ketibaan kumpulan pertama vaksin COVID-19 ke Malaysia di Bernama TV pada Ahad.

Madeline berkata, sektor perkhidmatan merupakan antara sektor yang perlu diutamakan dalam pemberian vaksin melalui pelaksanaan program vaksinasi yang dijadual bermula pada Rabu.

“Keutamaan perlu diberikan kepada penerima vaksin dari kalangan sektor perkhidmatan dan perkilangan untuk meningkatkan kadar pengeluaran,” tambahnya.

Madeline berharap dengan pelaksanaan program imunisasi di peringkat kebangsaan, sektor pelancongan dan eksport negara turut dapat digerakkan semula bagi membuka lebih peluang ekonomi kepada pemain industri.

“Sektor pelancongan dan eksport negara adalah sektor yang banyak terkesan disebabkan penutupan sempadan negara sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ,” katanya.

Dalam pada itu, Madeline berkata, kehadiran pelaburan syarikat farmaseutikal antarabangsa ke Malaysia dalam penyelidikan dan penghasilan vaksin COVID-19 dapat mengurangkan kadar pengangguran dalam negara.

Beliau berkata potensi kerjasama penyelidikan dan penghasilan vaksin dalam negara akan membuka peluang kepada pengambilan pekerja dari kalangan graduan berkemahiran tinggi.

“Kita harap kehadiran syarikat farmaseutikal dengan peluang pekerjaan akan memacu ekonomi negara dan memberi keyakinan terhadap pelabur asing dan tempatan bahawa ekonomi negara sedang berkembang dan kembali rancak dengan kitaran yang baik.

“Ini satu perkembangan baik dalam usaha menuju ke arah negara berteknologi tinggi sejajar dengan pelancaran Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL),” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button