Jangan putus asa hadapi COVID-19
Kerajaan dengar keluhan rakyat yang terkesan akibat wabak

KUALA LUMPUR, 9 Rejab 1442H, Ahad – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak rakyat supaya tidak berputus asa dengan situasi masa kini dan bangkit kembali hadapi COVID tatkala negara berhadapan dengan pandemik dan kesan wabak.
Beliau berkata, tahun 2020 merupakan tahun yang sukar dan telah memberi banyak pengajaran buat semua rakyat, yang mana seperti negara-negara lain, Malaysia turut berdepan dengan situasi yang cukup luar biasa.
“Bak kata pepatah, kita tidak boleh mengubah arah angin tetapi kita boleh melaraskan layar kita supaya sentiasa sampai ke destinasi kita.
“Kita adalah layar kita sendiri jadi marilah kita bekerjasama untuk menghadapi cabaran sukar ini, “ kata beliau dalam perutusan sempena Sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Norma Baharu 2021 yang disiarkan di saluran televisyen utama negara malam tadi.
“Pada masa yang sama, kita tidak boleh berputus asa ibarat seekor lembu yang sentiasa bertenaga dan bersedia untuk membajak dan berbakti kepada tanah,” katanya yang merujuk kepada sambutan Tahun Baharu Cina yang jatuh pada Tahun Lembu.
Beliau berkata, kerajaan prihatin dan sentiasa mendengar pandangan serta keluhan mereka yang terkesan akibat pandemik ini, malah kerajaan akan terus menggiatkan usaha untuk mengimbangi antara aspek kelangsungan hidup dan ekonomi negara. – Bernama