Kes wanita dimurtadkan ke agama Hindu dalam siasatan pihak polis
Dr Zulkifli minta orang ramai beri kepercayaan penuh pada pihak berkuasa

PUTRAJAYA, 9 Rejab 1442H, Ahad – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memandang serius video tular yang memaparkan pengakuan seorang lelaki bukan Islam mengaku memurtadkan seorang wanita Islam ke agama Hindu.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pihaknya difahamkan kes berkenaan sedang dalam siasatan dan tindakan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai memberikan sepenuh kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya.
Terdahulu, sebuah video dimuat naik di saluran Youtube, memaparkan seorang lelaki bukan Islam mengaku memurtadkan seorang wanita Islam sebelum mengahwininya.
Lelaki itu memberitahu, cara untuk lelaki bukan Islam mengahwini wanita Islam adalah dengan menukarkan agama mereka di negara lain seperti Indonesia, Singapura atau India terlebih dahulu.
Video dalam bahasa Tamil itu tersebar dan disertakan dengan sari kata bahasa Melayu.
Mengulas perkara itu, Dr Zulkifli menjelaskan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan adalah terjamin dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, manakala Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf hak dan kebebasan beragama untuk penganut agama Islam dan agama-agama lain di Malaysia, termasuklah hak untuk menganutinya dan mengamalkannya.
“Namun begitu, penyebaran agama selain Islam kepada umat Islam adalah tertakluk kepada Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan. Fasal ini memberi kuasa kepada kerajaan negeri untuk menggubal undang-undang bagi mengawal penyebaran agama lain kepada orang Islam.
“Perkara ini termasuk mengekang sebarang cubaan untuk memujuk, membawa atau mengajak orang Islam keluar dari agamanya sama ada melalui dakyah, perkahwinan atau apa jua cara sekalipun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dr Zulkifli menjelaskan, hampir semua negeri di Malaysia mempunyai Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam, yang digubal berdasarkan punca kuasa pada Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.
Pada masa sama, Dr Zulkifli berkata, beliau difahamkan bahawa Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam bagi Wilayah Persekutuan kini dalam proses akhir penggubalan.
“Ini antara keutamaan kerajaan dalam memperkasa perundangan syariah di Malaysia.
“Selain daripada penguatkuasaan undang-undang kerajaan juga mengambil berat aspek dakwah dan pendidikan dalam menangani isu-isu berkaitan pengukuhan akidah,” katanya.
Dr Zulkifli yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Antara Agama (HARMONI) berkata, beliau akan berusaha untuk memastikan sebarang polemik berkaitan agama akan diselesaikan dengan baik dan berhemah.
“Saya meminta semua pihak menghormati antara satu sama lain serta tidak bertindak menyalahi lunas perundangan terutama dalam perkara yang menyentuh sensitiviti agama dan hubungan antara kaum supaya keharmonian kaum dan agama terus terpelihara di negara yang penuh barakah ini,” katanya.
Semalam, seorang wanita yang mengaku warga Indonesia dan meninggalkan agama Islam untuk berkahwin dengan suaminya bukan Islam dilaporkan membuat permohonan maaf dalam satu klip video berdurasi 3 minit 30 saat yang tular di media sosial.
Wanita terbabit mendakwa, dia dimurtadkan atau keluar daripada Islam di negara asalnya iaitu Indonesia.
“Tolong, maafkan suami saya. Kami punya anak kecil lagi…tolonglah. Bersujud di kaki kalian semua pun tak ada masalah.
“Anak saya masih kecil, masih memerlukan ayah. Mungkin kalau semua orang dah maafkan, kita janji kita takkan buat video tentang agama semua itu,” katanya.