Berita Utama

Kuantan kini bandar raya

Menara kedua tertinggi negara, Menara 188 dirasmikan malam ini

KUANTAN, 9 Rejab 1442H, Ahad – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini mengisytiharkan Kuantan sebagai sebuah bandar raya dan membuka Kompleks Majlis Bandaraya Kuantan di Tanah Putih, di sini.

Majlis dimulakan dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin menyampaikan sepucuk surat yang mengisytiharkan Kuantan sebagai bandar raya kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebelum diserahkan kepada baginda.

Al-Sultan Abdullah kemudian mengisytiharkan Kuantan sebagai bandar raya dan upacara itu diikuti dengan menyerahkan surat pelantikan kepada Presiden Majlis Bandaraya Kuantan (MPK), Datuk Hamdan Hussin sebagai Datuk Bandar Kuantan yang pertama.

Hamdan menyatakan penerimaannya terhadap kedudukan itu dan menyatakan janji setia.

Al-Sultan Abdullah kemudian menandatangani plak untuk secara rasmi mengisytiharkan Kuantan sebagai bandar raya dan membuka Kompleks Majlis Bandaraya Kuantan.

Baginda dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kemudian menanam pokok Meranti di perkarangan kompleks itu.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah hadir di majlis itu bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Upacara pengisytiharan Kuantan sebagai sebuah bandaraya mengikuti persetujuan yang diberikan oleh kerajaan Persekutuan melalui mesyuarat Kabinet pada 8 Mei 2019.

Malam ini, Agong dijadualkan merasmikan Menara Kuantan 188, menara kedua tertinggi di negara ini, dan Jambatan Putra, menghubungkan Bandar Putra di Tanjung Lumpur dan pusat bandar Kuantan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button