Berita Utama

UMNO hilang maruah jika tunduk desakan MIC mahu kerusi ‘boleh menang’

MIC tak perlu rebut kerusi Melayu, cuba lawan kerusi DAP

BANGI, 9 Rejab 1442H, Ahad – UMNO diingatkan tidak tunduk dengan desakan MIC supaya memberikan kerusi yang boleh dimenangi kepada parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Semalam, Presiden MIC, Tan Sri S Vigneswaran mendakwa, pihaknya mahu kembali berada di dalam kerajaan khususnya di negeri.

Katanya, pada PRU14 lalu, UMNO juga tewas di beberapa kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi, maka pada PRU akan datang, MIC perlu diberikan ruang bertanding di kerusi-kerusi boleh dimenangi.

Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berpandangan, ‘kerusi yang boleh dimenangi’ yang dimaksudkan MIC, dipercayai adalah kerusi-kerusi majoriti pengundi Melayu terutamanya di kampung atau separa bandar.

“Menurut Presiden MIC, mereka mahu menuntut mana-mana ‘kerusi yang boleh dimenangi’ daripada UMNO untuk memastikan mereka ada wakil dalam Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. 

“Dari situ kita dapat fahami bahawa mereka tidak yakin dapat menang jika bertanding di kawasan bukan majoriti Melayu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, jika diperhatikan trend terkini politik negara, parti-parti minoriti hanya perlu menang satu kerusi sahaja dan ianya sudah memadai untuk menjadikan wakil mereka dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri. 

“Ini bermakna, semua ini secara langsung atau tidak suatu langkah strategik untuk memastikan mereka ada wakil dalam mesyuarat Kabinet walau dalam keadaan lemah sekalipun,” katanya.

Haji Aminuddin berkata, MIC dan mana-mana parti bukan Melayu lain dalam Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) perlu sensitif akan situasi dan perubahan politik semasa, lebih-lebih lagi politik orang Melayu.

“Parti-parti Melayu semakin banyak dan semakin kompetitif antara satu sama lain dengan jumlah kerusi Melayu yang terhad. 

“Apa logiknya lagi parti komponen lain seperti MIC, MCA, Gerakan dan sebagainya merebutnya lagi?,” katanya lagi.

Beliau mencadangkan supaya MIC memilih kerusi yang tidak ditandingi oleh parti Melayu bagi membuktikan kehebatan parti itu dalam memenangi hati rakyat.

“Banyak lagi kerusi yang pastinya tidak ditandingi oleh parti Melayu yang boleh dan perlu ditandingi. Maka, fokus sahajalah betul-betul di kerusi-kerusi ini dan fikirkan bagaimana mahu merebut kembali daripada cengkaman DAP.

“Sepatutnya mereka rasa bersalah dan hina kerana hanya menagih kerusi Melayu manakala kerusi bukan Melayu dibiarkan dibolot oleh DAP. Mana maruah mereka?

“Saya harap akar umbi UMNO membantah permintaan MIC ini. Kerana jika diberikan juga, UMNO akan hilang maruah juga,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button