Berita Utama

Ativa produk Perodua terbaru

Kenderaan turbo pertama Perodua, juga model pertama guna CVT

KUALA LUMPUR, 10 Rejab 1442H, Isnin – Model baharu Perodua D55L yang dibuka tempahan sejak Jumaat lalu bakal dikenali sebagai Ativa.

Meskipun belum diumumkan secara rasmi oleh Perusahan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA), namun harga tentatif atas jalan sebelum insurans dianggarkan bernilai sekitar RM62,500 hingga RM73,400.

Ia yang hadir dengan tiga varian iaitu X, H dan AV merupakan model tercanggih di kalangan produk Perodua.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, model tersebut merupakan model pertama di bawah rangka tindakan Perodua Smart Build dan ia ‘menerajui gaya, keselamatan, teknologi, tahap kelengkapan dan juga nilai bagi Perodua’.

“Selari dengan matlamat kami untuk terus membawa lebih banyak teknologi canggih kepada orang ramai, Perodua D55L AV merupakan kenderaan autonomi tahap dua yang paling mampu milik di Malaysia, menawarkan ciri keselamatan dan kemudahan canggih kepada semua.

“Kenderaan utiliti sukan (SUV) kekal popular dan Perodua D55L memenuhi trend ini dengan saiz yang kompak, gaya kontemporari dan ciri-ciri moden, menjadikannya paling sesuai untuk gaya hidup aktif seharian,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Menurut Perodua, antara ciri utama yang ada pada D55L ialah Sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA) terkini yang ada pada semua varian dan mampu beroperasi pada kelajuan yang lebih tinggi berbanding versi semasa dan mampu mengesan kenderaan dua roda.

Turut terdapat pada semua varian ialah enam beg udara, Amaran Keluar Lorong (LDW) manakala varian AV datang bersama Kawalan Pengekalan Lorong (LKC), Paparan Titik Buta (BSM), Amaran Trafik Melintas Belakang (RCTA) dan Kawalan Pelayaran Adaptif (ACC).

Bagi fungsi bantuan parkir, ia hadir dengan sensor kamera depan (varian X), sensor kamera belakang (varian H dan AV), kamera mengundur (varian H dan AV) dan rear cross trafic alert (varian AV).

Lebih menarik lagi, Perodua D55L merupakan kenderaan turbo pertama Perodua dan model pertama yang menggunakan transmisi boleh laras berterusan (CVT) yang menyumbang kepada kecekapan bahan api 18.9km/l, kecekapan terbaik dalam kelasnya.

Varian X dan H boleh didapati dalam warna Glittering Silver, Granite Grey dan Cobalt Blue dengan varian H turut didatangkan dengan pilihan Pearl Diamond White dan Pearl Delima Red.

Varian AV pula boleh didapati dalam warna Glittering Silver, Granite Grey, Pearl Diamond White, Pearl Delima Red dan dua warna terakhir dengan bumbung hitam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button