China lulus 16 vaksin COVID-19 jalani ujian klinikal
Enam daripadanya sudah memasuki fasa ketiga

BEIJING, 10 Rejab 1442H, Isnin – China sudah meluluskan 16 vaksin COVID-19 untuk menjalani ujian klinikal yang dihasilkan secara domestik.
Pentadbiran Produk Perubatan Negara (NMPA) mengesahkan enam daripadanya sudah memasuki fasa ketiga.
Manakala, dua lagi sudah mendapat kelulusan pemasaran bersyarat walaupun belum selesai menjalani ujian.
Ia termasuk vaksin dibangunkan firma China National Biotec Group (CNBG) yang bekerjasama dengan Sinopharm dan vaksin CoronaVac dihasilkan oleh Sinovac Biotech.
Kedua-duanya dilaporkan sudah menerima kelulusan daripada pentadbiran berkenaan masing-masing pada 30 Disember 2020 dan 5 Februari lalu.
Mengikut undang-undang, NMPA boleh meluluskan secara bersyarat permohonan pendaftaran vaksin yang diperlukan bagi menghadapi kecemasan kesihatan awam kritikal.
Salah satu vaksin diluluskan untuk kegunaan awam di China selain kegunaan kecemasan di beberapa negara seperti Iraq, Pakistan serta Maghribi.
Setakat ini, China sudah melakukan 40.52 juta suntikan vaksin COVID-19 kepada golongan sasar setakat 9 Februari lalu. – Agensi