Berita Utama

COVID-19: 8 kluster baharu, 7 berkaitan tempat kerja

Kluster komuniti babit majlis pengebumian di Sarawak

KUALA LUMPUR, 10 Rejab 1442H, Isnin – Lapan kluster COVID-19 baharu dikesan di negara ini, kata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada lapan kluster itu, tujuh berkaitan dengan tempat kerja, sementara satu lagi berkaitan dengan kluster komuniti.

Kluster komuniti ini melibatkan satu majlis pengebumian di Kampung Emperoh Jambu, Padawan, Samarahan yang berlangsung di antara 3 hingga 5 Februari 2021. 

Sehingga 22 Februari 2021, sejumlah 337 individu telah disaring, di mana 60 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

“Manakala salah satu kluster baharu berkaitan tempat kerja adalah kluster tapak pembinaan Lombong Timah di Kuala Langat dan Klang di Selangor.

“Ia telah menyaksikan 45 kes positif dikesan melalui pemeriksaan pekerja yang disasarkan di sebuah tapak pembinaan di Jalan Lombong Timah 3, Bandar Saujana Putra di Kuala Langat,” katanya.

Selain itu, kluster tapak pembinaan Jalan Kota di Gombak, Selangor, pula dikesan melalui pemeriksaan pekerja yang disasarkan di Taman Perindustrian Kota Elmina. Setakat ini, 11 telah disahkan positif.

Kluster pasar Jalan Putra pula melibatkan daerah Petaling di Selangor dan mempunyai sembilan kes positif pada hari Isnin.

Ia dikesan melalui penyaringan bersasar pekerja-pekerja sebuah perniagaan runcit yang terletak dalam kawasan pasar borong di Sri Kembangan, Petaling.

Sementara kluster tapak pembinaan Sungai Batu di Kepong, Kuala Lumpur, mempunyai 25 kes positif.

“Kes-kes itu dikesan melalui pemeriksaan pekerja yang disasarkan di sebuah tapak pembinaan berhampiran Sungai Batu di Jalan Ipoh, Kepong,” katanya.

Seterusnya, kluster Sungai Bakong pula melibatkan sebuah pusat pengajian yang terletak berhampiran dengan Sungai Bakong di Meradong. 

“Sehingga 22 Februari 2021, sejumlah 593 individu telah disaring, di mana 22 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya.

Manakala kluster Hilir Sungai Kluang terletak di Pulau Pinang, dan setakat ini terdapat 41 kes positif.

“Kes-kes tersebut dijumpai berikutan pemeriksaan pekerja yang disasarkan di sebuah kilang di Hilir Sungai Kluang di Kawasan Perindustrian Bebas Bayan Lepas di Barat Daya,” katanya lagi.

Kluster Industri Sungai Gadut melibatkan daerah Seremban, Rembau dan Tampin di Negeri Sembilan, dan mempunyai 65 kes positif.

Ia dikesan melalui pemeriksaan pekerja yang disasarkan di sebuah kilang di Taman Perindustrian Sungai Gadut di Seremban.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button