Berita Utama

Minta kerusi selamat, MIC bimbang saingan daripada Gerakan?

BN tak lagi dominan, strategi serah kerusi majoriti Melayu pada MIC sudah tidak relevan

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 10 Rejab 1442H, Isnin – Desakan MIC untuk mendapatkan kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) dari UMNO, berkemungkinan berpunca daripada kebimbangan terdapatnya cabaran dari Gerakan yang telah mendapat tempat dalam Perikatan Nasional (PN).

Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali berkata, situasi itu memungkinkan MIC terpaksa berdepan secara tiga penjuru menentang DAP dan Gerakan.

Justeru, beliau melihat bahawa hanya kerusi majoriti Melayu sahaja yang boleh menyelamatkan kedudukan MIC yang berada dalam keadaan getir ini.

Pun begitu, permintaan MIC untuk mendapatkan kerusi ketika ini adalah kurang wajar kerana ia dilakukan pada masa UMNO sedang bergelut memposisikan diri dalam kemelut bersama PN dan juga Muafakat Nasional, kata Dr Mazlan.

“MIC sudah lama meraih kedudukan di atas ihsan UMNO dengan memberikan kerusi-kerusi ‘selamat’ kepada parti itu. 

“Kerana realitinya, MIC tidak mendapat sokongan padu masyarakat India yang terpecah dengan menyertai parti-parti politik yang banyak seperti Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF), Makkal Sakti, PKR, DAP dan Gerakan.

“Saya fikir sudah tiba masanya MIC berhenti bergantung kepada ihsan UMNO, sebaliknya memfokuskan gerak kerja meraih sokongan bukan Melayu dan bertanding di kerusi-kerusi majoriti bukan Melayu,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau mengesyorkan supaya MIC bertanding di beberapa kerusi campuran di mana parti itu perlu berusaha menarik seramai mungkin sokongan bukan Melayu kepada Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, beliau berkata, UMNO yang telah kehilangan kuasa pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu perlu membuka langkah dan strategi baru berdepan PRU-15 akan datang. 

Katanya, UMNO perlu memfokuskan kerusi-kerusi majoriti Melayu untuk menambahkan bilangan wakil Melayu-Islam dari parti itu di Parlimen. 

“Strategi lama dengan menyerahkan kerusi-kerusi majoriti Melayu kepada MIC sudah tidak sesuai kerana orang Melayu hari ini sudah pandai memilih. 

“Zaman sekarang, BN tidak dominan lagi. Belum tentu BN boleh menang di kawasan Melayu dengan meletakkan calon bukan Melayu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button