Berita Utama

Murtad, penyebaran dakyah agama lain perlu dikekang

Titik berat pendidikan, akidah supaya muslim tak mudah terpesong

BANGI, 10 Rejab 1442H, Isnin – Isu murtad dan penyebaran dakyah agama lain – selain Islam – kepada muslim di negara ini wajar dipandang serius dan usaha mengekangnya perlu dimainkan semua pihak.

Ini kerana, Islam diiktiraf oleh Perlembagaan sebagai agama tertinggi negara bukan sahaja dari fakta sejarah, tetapi juga mengiktiraf tonggak dan kekuasaan Raja-Raja yang semuanya adalah beragama Islam sewaktu negara ini dibentuk.

Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, memperuntukan bahawa: Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.

Manakala, Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan menegaskan bahawa penyebaran agama selain daripada agama Islam kepada orang Islam adalah dilarang sama sekali terutamanya dari segi penyebaran dakyah.

Sehubungan itu, Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Johor Bahru, Muzhaffar Mohd Zaki memuji tindakan pihak berkuasa berhubung isu wanita warga Indonesia meninggalkan agama Islam untuk berkahwin dengan suaminya bukan Islam.

Katanya, tindakan pantas pihak berkuasa menyiasat satu video yang tular memaparkan pengakuan seorang lelaki bukan muslim mengaku memurtadkan seorang wanita Islam, harus dipuji dan dijadikan contoh.

Bagaimanapun, bagi memastikan kejadian sama tidak lagi berulang pada masa akan datang, beliau menggesa pihak berkuasa melaksanakan tindakan undang-undang sewajarnya.

“Aspek pendidikan dan pengukuhan akidah juga perlu dititik beratkan kepada segenap lapisan umur sebagai membentuk jati diri muslim yang sejati agar tidak mudah terpesong daripada ajaran Islam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, satu klip video dikatakan dimuat naik melalui laman YouTube memaparkan seorang lelaki bukan Islam mengaku memurtadkan seorang wanita Islam sebelum mengahwininya.

Lelaki itu turut memberitahu, cara untuk lelaki bukan Islam mengahwini wanita Islam adalah dengan menukarkan agama mereka di negara lain seperti Indonesia, Singapura atau India terlebih dahulu.

Bagaimanapun, wanita berkenaan dilaporkan membuat permohonan maaf dalam satu klip video berdurasi 3 minit 30 saat yang tular di media sosial.

Wanita terbabit mendakwa, dia dimurtadkan atau keluar daripada Islam di negara asalnya iaitu Indonesia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, kes berkenaan kini dalam siasatan dan tindakan pihak polis.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button