Berita UtamaDunia

Pelan vaksin COVID-19 Palestin kurang dana AS$30 juta

Perlu peruntukan AS$55 juta tampung 60 peratus populasi penduduk

BAITULMAQDIS, 10 Rejab 1442H, Isnin – Pelan vaksinasi COVID-19 rakyat Palestin memerlukan dana lagi AS$30 juta, selepas mengambil kira sokongan dari skema vaksin global untuk ekonomi miskin.

Bank Dunia dalam sebuah laporan semalam berkata, Israel mungkin dapat mempertimbangkan untuk memberi lebihan dos kepada rakyat Palestin untuk membantu mempercepatkan pemberian vaksin di Tebing Barat dan Gaza yang diduduki.

“Untuk memastikan adanya kempen vaksinasi yang efektif, pihak berkuasa Palestin dan Israel harus berkoordinasi dalam pembiayaan, pembelian dan pengedaran vaksin COVID-19 yang selamat dan berkesan,” katanya.

Pihak Berkuasa Palestin (PA) merancang untuk melindungi 20 peratus penduduk Palestin melalui program perkongsian vaksin COVAX.

Pegawai PA berharap dapat memperoleh vaksin tambahan untuk mencapai liputan 60 peratus.

Anggaran kos menunjukkan ‘kira-kira AS$55 juta akan diperlukan untuk menampung 60 peratus populasi, di mana terdapat jurang AS$30 juta yang ada,’ kata Bank Dunia, meminta bantuan penderma tambahan.

Palestin memulakan vaksinasi bulan ini dan telah menerima sumbangan kecil dari Israel, Rusia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Bagaimanapun kira-kira 32,000 dos yang diterima hingga kini jauh lebih rendah daripada 5.2 juta penduduk Palestin di Tebing Barat dan Gaza – wilayah yang ditawan Israel dalam perang 1967.

Palestin dan kumpulan hak asasi mendakwa Israel mengabaikan tugasnya sebagai kuasa penjajah dengan tidak memasukkan Palestin dalam program inokulasi.

Pegawai Israel berkata, di bawah perjanjian damai Oslo, Kementerian Kesihatan PA bertanggungjawab untuk memvaksinasi rakyat di Gaza dan bahagian Tebing Barat di mana mempunyai pemerintahan sendiri yang terhad. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button