Berita Utama

Pemuda UMNO hormat keputusan Annuar Musa sertai PAS

Barisan anak muda akan terus kekal setia jaga ‘rumah’

BANGI, 23 Zulkaedah 1444H, Isnin – Pergerakan Pemuda UMNO menghormati keputusan Tan Sri Annuar Musa untuk tidak menerima jemputan menyertai parti itu semula, dan memilih untuk bersama dengan PAS.

Ketua Pemudanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, usul Pemuda UMNO bagi parti memperhalusi dan mempertimbang kemasukan kembali pimpinan yang berada di luar parti telah disambut baik oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sewaktu penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023.

“Namun, tular ucapan Tan Sri Annuar Musa yang menidakkan jemputan itu dan mahu menyertai PAS. Itu hak beliau yang kami hormati.

“Walaupun, kami percaya sejak dilantik menjadi Senator dan menteri, diberi peluang menjadi Ahli Parlimen mewakili parti – pastinya banyak memberi nikmat dan kelebihan buat Tan Sri dan orang di sekeliling Tan Sri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhamad Akmal turut menzahirkan penghargaan kepada bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) tersebut dan semua ahli yang telah keluar daripada landasan perjuangan luhur itu di atas sumbangan terhadap parti.

“Pemimpin datang dan pergi, insya-Allah kami barisan anak muda dan pemimpin pelapis ini apatah lagi yang tidak pernah memegang jawatan yang besar seperti Tan Sri akan terus kekal setia untuk bersama membina rumah kita yang banyak berjasa pada kita ini.

“Kami akan bina rumah ini dengan semangat yang pernah Tan Sri titipkan buat kami orang muda untuk terus setia dan berkhidmat menjaga rumah kita ini ketika Tan Sri menjadi ahli UMNO dahulu,” katanya.

Sebelum ini, Muhammad Akmal menegaskan barisan kepimpinan perlu menerima semula ahli yang dipecat dan digantung bagi memperkasa parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Katanya, UMNO kini berada di titik terendah, justeru perlu menerima sesiapa sahaja yang mahu membantu untuk memperkuatkan parti itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button