Berita Utama

COVID-19 bukan alasan jerumus ke kancah pelacuran

Segala bentuk pelacuran moden mesti dihentikan

BANGI, 11 Rejab 1442H, Selasa – Pandemik COVID-19 tidak boleh dijadikan alasan untuk menjerumuskan diri ke kancah pelacuran moden seperti di laman sesawang Sugarbook yang tular baru-baru ini.

Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Shah Alam, Aini Said menegaskan, keghairahan untuk mengejar kemewahan segera dan gaya hidup mewah sehingga sanggup menggadaikan maruah diri amat bertentangan dengan syariat Islam.

“Tiada jalan pintas untuk kaya.

“Islam menuntut umatnya maju dan mencari rezeki dengan cara yang halal dan baik kerana ia juga menjadi ibadah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, banyak lagi cara menjana pendapatan yang boleh diusahakan.

“Sesiapa yang berusaha pasti akan memperoleh hasil. Insya-Allah yakinlah kepada pemberi rezeki.

“Apapun, segala bentuk pelacuran moden wajar dihentikan dan dikenakan tindakan tegas kerana menyalahi syariat Islam dan undang-undang di Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, aplikasi Sugarbook didakwa menyediakan platform untuk mencari perempuan simpanan atau lebih dikenali sebagai ‘sugar baby’.

Menerusi pendedahan media baru-baru ini, amat mengejutkan apabila Sugarbook melaporkan pendaftaran pelajar sehingga 40 peratus untuk menjadi ‘sugar baby’ sejak Januari lalu, atas alasan kononnya krisis kewangan yang dialami.

Ia juga mendedahkan seramai 12,705 pelajar terdiri daripada penuntut di Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Lembah Klang, termasuk dua universiti awam, berdaftar dengan platform itu.

Pengasas Sugarbook ketika ini masih dalam tempoh reman selepas ditahan 18 Februari lalu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan laman itu digunakan sebagai platform mencari perempuan simpanan.

Tempoh reman akan tamat 24 Februari esok. Kes juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button