Berita Utama

Kerajaan disyor pertimbang proklamasi darurat pemulihan ekonomi

Ordinan boleh dibuat dari segi pinjaman bank, penggunaan tanah terbiar

BANGI, 11 Rejab 1442H, Selasa – Kerajaan disaran mempertimbangkan cadangan untuk diutarakan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah berhubung proklamasi darurat pemulihan ekonomi.

Ini kerana, implikasi darurat kesihatan yang dilaksanakan ketika ini – bagi menangani COVID-19 – turut memberi kesan kepada ekonomi rakyat.

Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik Universiti Malaysia Pahang (UMP), Datuk Profesor Madya Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, apabila diisytiharkan darurat kehidupan ekonomi, maka Agong boleh proklamasi ordinan yang berkaitan dengan pemulihan ekonomi.

“Jadi saya mencadangkan kerajaan mempertimbangkan untuk memberi pandangan kepada Seri Paduka Baginda untuk membuat proklamasi darurat pemulihan ekonomi.

“Ini kerana kehidupan ekonomi rakyat juga terancam,” katanya dalam Wacana Dasar 4.0, di TV Pertiwi, malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam ordinan nanti boleh dibuat dari segi pinjaman bank serta penggunaan tanah terbiar.

“Sekarang ini untuk tujuan kesihatan tapi (seterusnya) untuk ekonomi pula. Ordinan ini kena ikut kenapa darurat itu dimasyurkan. Kalau tujuannya untuk kesihatan – walaupun kerajaan boleh mengambil tanah – tujuannya untuk kesihatan sahaja.

“Bagaimanapun untuk pemulihan ekonomi, perlu ada pengisytiharan darurat kehidupan ekonomi kerana terancam.

“Oleh itu, darurat bersifat pemulihan ekonomi perlu diisytiharkan supaya langkah-langkah pemulihan ekonomi boleh dibuat di luar daripada kerangka undang-undang sedia ada,” katanya.

Sebelum ini, Agong telah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak COVID-19.

Seri Paduka Baginda turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat ini sehingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Perkenan tersebut diberikan selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet dan mengambil kira rundingan Seri Paduka Baginda dengan Raja-Raja Melayu.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin perkenan darurat itu mengambil kira keselamatan diri rakyat dan kepentingan negara.

https://www.facebook.com/TvPertiwi/videos/112146300806912/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button