Berita Utama

Kerajaan ‘lemah’ punca sekolah vernakular ada sampai sekarang?

Penyokong sekolah kebangsaan perlu bersuara perbaiki sistem sekolah berkenaan

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 11 Rejab 1442H, Selasa – Kewujudan sekolah vernakular di negara ini adalah disebabkan kelemahan kerajaan Malaysia bermula tahun 1957 sehingga sekarang, kata Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Ketamadun Islam (ISTAC), UIAM, Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican.

Beliau berkata, kerajaan selama 63 tahun bukan sahaja tidak tegas – meski berlaku peralihan – malah tidak memperincikan pelaksanaan serta tidak menggunakan nasihat dan teguran sepatutnya ke atas sekolah vernakular.

Sepatutnya, kerajaan sebagai wakil warganegara mesti menegur dan memberi nasihat sepanjang masa kepada negara, bukannya setahun sekali seperti (ketika) Hari Kebangsaan dan Bulan Bahasa Melayu.

“Teguran dan nasihat perlu sampai kepada semua peringkat warganegara dan bukan hanya kepada orang Melayu sahaja,” katanya seperti dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Mengulas mengenai kewujudan sekolah vernakular, beliau berkata, penyokong sekolah berkenaan bersungguh mempertahankannya, malah mereka juga antiperpaduan.

Katanya, mereka juga diibaratkan sama seperti pertubuhan radikal yang anti-Bahasa Kebangsaan serta antinasonal.

“Maka, dalam isu ini, sekolah vernakular mesti dihapuskan, terutamanya sekolah persendirian Cina yang dibiayai oleh pertubuhan  yang bukan bersifat nasional,” katanya.

Mengulas mengenai perkara sama, Prof Ahmad Murad berkata, masalah mengenai bahasa kebangsaan dalam sekolah vernakular juga terjadi apabila pemimpin parti politik tidak menyampaikan nasihat kerajaan melalui media mereka.

“Kita andaikan bahawa teguran-teguran itu (bahasa kebangsaan) tidak dibuat (liputan) oleh media vernakular seperti bangsa Cina dan Tamil.

“…kita boleh andaikan semua ini tidak sampai kepada pembaca vernakular. Jadi, mesej, nasihat dan sebagainya mereka tidak tahu,” katanya.

ISMA antara gerakan Islam yang memfailkan writ saman berhubung keabsahan sekolah vernakular.

Presidennya, Haji Aminuddin Yahaya menegaskan, sudah tiba masanya mahkamah meletakkan satu titik pengakhiran terhadap sekolah vernakular yang sejak dahulu lagi mewujudkan polemik dalam memupuk perpaduan kaum di Malaysia.

Pada 16 November 2019, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM), juga memfailkan writ saman bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa kewujudan sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil adalah bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button