Berita Utama

Kerangka Perlembagaan masih terjamin walaupun proklamasi darurat

Keputusan Agong tidak boleh dicabar sesuai dengan kedudukan kedaulatan Perlembagaan iaitu Raja-Raja

BANGI, 11 Rejab 1442H, Selasa – Kerangka Perlembagaan masih terjamin walaupun Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan proklamasi darurat di negara ini.

Ia bermakna, undang-undang serta Parlimen tidak tergantung, malah masih berjalan mengikut kerangka dan dilindungi Perlembagaan, kata Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik Universiti Malaysia Pahang (UMP), Datuk Profesor Madya Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain.

Bagaimanapun, merujuk Perkara 150 Fasal (6A), Fasal 5 di bawah peruntukan itu tidak boleh memperluas kuasa Parlimen mengenai hukum Syarak, adat Melayu atau berkaitan hal ehwal adat anak negeri Sabah dan Sarawak.

Katanya, Fasal 6 juga tidak boleh mensahkan mana-mana peruntukan yang tidak selaras dengan peruntukan Perlembagaan mahupun ia berkaitan dengan agama, kewarganegaraan atau bahasa.

“Jadi kalau kita lihat, unsur ini adalah unsur watan. Unsur lama yang menyentuh pada kedaulatan negara kita.

“Ini kerana kedaulatan negara kita walaupun terletak pada Raja-Raja, tetapi posisi Raja-Raja tidak boleh dipisah dengan agama,” katanya dalam Wacana Dasar 4.0 di TV Pertiwi, malam tadi.

Mengulas mengenai kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam mengisytiharkan darurat, Dr Wan Ahmad Fauzi berkata, Perkara 150 Fasal 8 menjelaskan keputusan baginda tidak boleh dicabar jika ia sudah berpuas hati, sesuai dengan kedudukan kedaulatan Perlembagaan iaitu Raja-Raja.

Ini kerana, kuasa mengisytihar darurat terletak pada prerogatif Yang di-Pertuan Agong, di mana baginda melaksanakan kuasa itu atas budi bicaranya.

“Kita lihat kuasa Agong isytiharkan darurat bukan hanya satu tempat sahaja, tetapi seluruh Persekutuan. Jadi, kuasa tersebut tak diberi kepada Raja.

“Dalam Undang-Undang Tubuh Negeri, tiada kuasa seumpama itu diberikan kepada Raja-Raja kerana kuasa tersebut ada pada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Beliau berkata, Perlembagaan meletakkan kedudukannya sebagai undang-undang tertinggi.

“Itulah maksudnyaa keluhuran Perlembagaan, di mana kita ada Parlimen. Namun, Parlimen bukan dewan tertinggi yang mengatasi kedaulatan Raja-Raja.

“Ada perkara Parlimen boleh gubal undang-undang tetapi tertakluk kepada perkenan Majlis Raja-Raja.

“Begitu juga dalam Perlembagaan, walaupun ia dijamin oleh Perkara 4 tetapi Perlembagaan menjamin kedaulatan Raja-Raja,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button