Pemilik restoran pro-Palestin di Kanada dituduh wujud anti-Semitisme
Hawkins berdepan ancaman ditarik lesen, dihadapkan ke mahkamah

TORONTO, 11 Rejab 1442H, Selasa – Sebuah restoran di Kanada dihadapkan ke mahkamah dan berdepan ancaman ‘ditarik lesen’ kerana menyiarkan ciapan pro-Palestin dan anti-Zionis di laman Twitter.
Dalam wawancara eksklusif dengan Press TV, pemilik restoran Foodbenders di Toronto berkata, kerajaan Kanada menuduh dia mewujudkan anti-Semitisme dalam ciapan anti-Israelnya itu dan mengancam akan membawanya ke mahkamah.
Walhal, katanya, kerajaan sebelum ini mengaku sebagai pembela hak asasi manusia dan kebebasan di seluruh dunia.
“Negara-negara di Barat sekarang, ada gerakan politik untuk menyamakan anti-Zionisme dengan anti-Semitisme dan saya terperangkap dalam situari itu.
“Banyak orang menganggap Zionisme sebagai Yahudi, atas alasan itu saya difitnah secara agresif sebagai anti-Semitisme, sehingga banyak banyak masalah lain timbul,” kata pemilik restoran, Kimberley Hawkins, semalam.
Beliau mendakwa, tindakan kerajaan Kanada terhadapnya sebagai ‘langkah politik’ untuk menjadikan perkataan atau definisi anti-Semitisme itu dapat mencegah orang ramai daripada bercakap secara kritis mengenai Zionis atau Zionisme.
Hawkins menjelaskan, serangan terhadap syarikat makanan kecilnya bermula pada tahun 2019 kerana terdapat papan tanda mengenai pembunuhan di Semenanjung Gaza yang terkepung.
Dia berkata, keadaan bertambah buruk ketika ‘Liga Pertahanan Yahudi dan individu yang bersekutu muncul di restorannya untuk melakukan vandalisme yang cukup jahat.’
Hawkins kemudian mengatakan terdapat empat kes undang-undang dikenakan terhadapnya, semuanya berdasarkan pada media sosial mengenai Zionisme.
“Tanda pagar yang paling banyak dibicarakan adalah #Zionistsnotwelcome yang didakwa merujuk pada aneksasi yang sedang berlaku di Palestin,” katanya. – Agensi