Berita Utama

‘Anggaplah Tol Rahmah sebagai duit raya’

Kerajaan tanggung RM93 juta untuk tol percuma sempena Aidilfitri

KUCHING, 28 Ramadan 1444H, Rabu – Kerajaan menanggung kira-kira RM93 juta bagi pemberian Tol RAHMAH percuma kepada pengguna lebuh raya selama empat hari yang bermula hari ini, kata Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata, pemberian tol percuma pada hari ini hingga 21 April (Jumaat) dan juga pada 24 April (Isnin) membabitkan 33 lebuh raya utama negara adalah satu daripada aspirasi MADANI untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

Menurut Ahmad jumlah itu adalah anggaran awal oleh Pejabat Belanjawan Negara untuk dibayar kepada konsesi yang terlibat.

“Anggaplah itu (pemberian Tol RAHMAH) sebagai duit raya, ini sebahagian daripada duit rakyat juga yang kita berikan semula kepada rakyat bagi memberikan peluang kepada pengguna lebuh raya balik ke kampung halaman atau menziarahi keluarga sempena Aidilfitri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Penyerahan Sumbangan 2023 yang turut dihadiri Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Sarawak Vijayen Nagalingham di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, hasil kutipan cukai LHDN di Sarawak tahun lepas mencatatkan sebanyak RM6.6 bilion.

“Tahun ini kita sasarkan hasil kutipan cukai sebanyak RM6.8 bilion, saya harap rakyat Sarawak yang layak membayar cukai masing-masing, sekiranya mengalami masalah boleh membuat pengakuan sukarela dari 1 Jun hingga 31 Mei tahun depan dan membuat rundingan dengan pegawai hasil untuk pembayaran,” katanya.

Pada majlis itu, sejumlah 30 asnaf yang layak dari kawasan Petra Jaya menerima sumbangan berbentuk bakul makanan dan wang tunai sejumlah RM150 seorang.

Bantuan itu adalah hasil daripada kutipan ikhlas pegawai daripada Kesatuan dan Kelab HASiL Sarawak dalam usaha membantu golongan yang memerlukan sempena sambutan Aidilfitri.- Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button