Berita Utama

Prof Kok Seong ingatkan orang Cina berpada-pada tuntut ‘hak’

Tuntutan khususnya bidang pendidikan harus bersifat 'profil rendah'

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 11 Rejab 1442H, Selasa – Sikap rakus segelintir orang Cina – melalui parti politik kaum – menuntut dan membantah beberapa perkara secara agresif, dibuat dengan tidak mengambil kira kesan kepada pembentukan negara bangsa.

Cara ‘profil tinggi’ yang digunakan parti politik Cina untuk mempertikai hal tertentu – seperti sekolah vernakular dan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) – secara terbuka menyebabkan kaum itu dianggap tidak setia kepada negara, walaupun sudah lama tinggal di sini dan menjadi warganegara.

Bagi Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong, tuntutan kaum Cina melalui parti politik, khususnya dalam bidang pendidikan sepatutnya bersifat ‘profil rendah’.

“Bagi saya, sekolah vernakular dan UEC hendak bersifat ‘profil rendah’ seperti sebelum ini. Ia tidak boleh bersifat ‘profil tinggi’ untuk dituntut penambahan dana dan pengiktirafan rasmi yang dilakukan secara terbuka dan agresif oleh parti politik Cina.

“Ini kerana pendidikan aliran Cina sepenuhnya di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan separa di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) adalah bukan aliran utama dalam sistem pendidikan negara.

“Oleh itu, berpada-padalah dalam membuat tuntutan, lebih-lebih lagi secara terbuka dan agresif seolah-olah SJKC dan SMJKC aliran ‘terutama’,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Sehubungan itu, Prof Kok Seong meminta parti politik Cina – baik dalam kerajaan mahupun pembangkang – sedar cara mereka yang mahu kelihatan jaguh pada mata orang Cina, telah menyebabkan kaum itu dianggap sebagai tidak setia kepada negara.

Beliau juga meminta kaum Cina – melalui parti politik Cina – berpada-pada dalam menuntut apa yang mereka sifatkan sebagai hak, walhal ianya keistimewaan sahaja ekoran ihsan bangsa Melayu yang baik hati.

“Ini termasuklah kewujudan terus sekolah vernakular selepas kemerdekaan sehingga kini.

“Justeru, hentikan cara yang memang memberi tanggapan buruk kepada kaum Cina,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button