Berita Utama

Thailand mula program vaksinasi minggu ini

Terima 200,000 dos vaksin yang dibangunkan syarikat farmaseutikal China

BANGKOK, 11 Rejab 1442H, Selasa – Thailand akan memulakan program vaksinasi COVID-19 menjelang akhir minggu ini, selepas negara itu dijadual menerima dua vaksin – Sinovac Biotch dari China dan Oxford-AstraZeneca esok.

Thailand akan menerima kumpulan pertama 200,000 daripada 2 juta dos vaksin yang dibangunkan syarikat farmaseutikal China itu esok. Vaksin itu diberi kelulusan untuk kegunaan kecemasan berkuat kuasa 22 Februari.

Pada masa sama, Thailand juga akan menerima 200,000 dos vaksin Oxford-AstraZeneca COVID-19 dari dua pengeluar esok, kata Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan Awam Anutin Charnvirakul.

Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha akan menjadi rakyat Thailand pertama yang diberi vaksin COVID-19 bagi membantu meningkatkan keyakinan masyarakat mengenai keselamatan dan keberkesanannya.

Dalam satu hantaran di Facebook hari ini, Prayuth berkata suntikan kumpulan sasar pertama akan bermula dalam tempoh tiga hari selepas ketibaan vaksin itu pada Rabu. 

Beliau berkata, 800,000 dos vaksin Sinovac COVID-19 dari China dijangka tiba pada Mac dan satu juta lagi pada April.

“Sebanyak 26 juta lagi dos vaksin Oxford-AstraZeneca dijangka siap pada Mei dan Jun,” katanya. Thailand dilaporkan menempah 61 juta dos vaksin Oxford-AstraZeneca COVID-19.

Sementara itu, Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) meluluskan kumpulan pertama vaksin untuk diagihkan ke 13 wilayah yang mempunyai kadar jangkitan lebih tinggi dalam penularan wabak terbaru termasuk Samut Sakhon, Bangkok, Pathum Thani serta wilayah yang mempunyai kepentingan ekonomi – Chonburi, Phuket, Surat Thani dan Chiang Mai.

Petugas kesihatan barisan hadapan di hospital kerajaan dan swasta serta pesakit yang mempunyai penyakit kronik antara kumpulan pertama yang akan menerima vaksin COVID-19 itu.

Thailand menyasarkan memberi vaksin kepada 50 peratus penduduknya menjelang akhir tahun ini.

Sepanjang 24 jam lalu, Thailand merekodkan 95 kes baharu COVID-19 dan sifar kematian menjadikan jumlah kumulatif di negara itu sebanyak 25,599 dengan 83 kematian. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button