Berita Utama

Lebih 100 jemaah umrah Malaysia positif COVID-19

Kesemua mereka kini sedang jalani dikuarantin di Makkah

BANGI, 2 Jamadilakhir 1443H, Rabu – Lebih 100 jemaah umrah tanah air disahkan positif COVID-19 dan kini sedang menjalani kuarantin di Makkah.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, daripada jumlah itu, ada jemaah yang terpaksa dirujuk ke hospital berikutan mengalami masalah kesihatan.

“Setakat laporan yang PAPUH terima hari ini, anggaran ada lebih 100 jemaah yang kena kuarantin di sana dalam kalangan ahli kami.

“Ada dua kumpulan jemaah, masing-masing membabitkan 55 orang dan lebih 40 jemaah yang masih berada di sana untuk jalani kuarantin dan jumlah keseluruhan setakat ini dalam 104 orang sahaja,” katanya seperti dipetik portal tempatan, hari ini.

Bagaimanapun, Razali menjelaskan, kesemua jemaah berkenaan telah selesai menjalani ibadat umrah namun ditahan kerana ujian saringan COVID-19 sebelum kembali ke tanah air didapati positif.

PAPUH kini dalam usaha untuk bertemu pihak Kedutaan Arab Saudi di Malaysia bagi membincangkan isu dihadapi sesetengah jemaah yang terpaksa membuat bayaran dahulu untuk rawatan di hospital, dengan tuntutan dibayar semula kemudian.

“Lebih kurang tujuh syarikat insurans yang kita berurusan ketika buat visa untuk jemaah dan ada antaranya yang minta jemaah bayar dahulu, inilah masalahnya.

“Jadi, kami berhasrat untuk berbincang lanjut mekanisme terbaik supaya tidak membebankan jemaah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button