Berita Utama

Tuntut kerusi ‘boleh menang’, MIC cuba tunggang UMNO

Jika serah juga kerusi, bermakna UMNO tiada prinsip bawa agenda Melayu

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 11 Rejab 1442H, Selasa – UMNO akan dilihat tidak mempunyai prinsip membawa agenda orang Melayu, sekiranya ‘tunduk’ tuntutan MIC yang mahukan kerusi boleh dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sebagai parti yang lebih 60 tahun bertapak di negara ini, UMNO sepatutnya sudah terlalu matang berpolitik, apatah lagi berdepan dengan tuntutan rakan komponennya dalam Barisan Nasional (BN).

Atas dasar itu, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) menasihatkan UMNO supaya bertindak bijak dan tidak kalah dengan gertakan MIC. 

Ketua Penerangan BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim percaya, tuntutan MIC itu adalah tertumpu kepada kawasan yang berpotensi iaitu di kerusi majoriti pengundi Melayu.

Bahkan, beliau yakin MIC hanya mampu menang dengan sokongan daripada pengundi Melayu, sebagaimana yang berlaku di antara MCA ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

“MIC yakin bahawa sekiranya inginkan kerusi, maka MIC mesti mendapatkan sokongan orang Melayu iaitu kawasan yang majoriti Melayu.

“Inilah yang dipelajarinya dari MCA di Tanjung Piai. Apakah UMNO hatinya ‘suci’ untuk menyerahkan kawasan kepada MIC, UMNO pasti akan dihukum oleh ahli pada PRU15,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Ustaz Zamani menyifatkan kekuatan UMNO bukan terletak kepada sokongan MIC mahupun MCA, tetapi keberanian pemimpin parti – yang sarat terpalit kes-kes mahkamah – untuk melepaskan jawatan serta bersara daripada dunia politik.

“BERJASA juga melihat UMNO tidak berani berpegang kepada prinsip bahawa kawasan majoriti Melayu mesti diwakili oleh calon Melayu.

“Menuntut kepada UMNO kawasan yang yakin menang, sebenarnya MIC ingin menunggang UMNO dan kalau ini berlaku, UMNO yang berusia lebih 60 tahun sebenarnya tiada prinsip dalam membawa agenda Melayu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengulangi pendirian BERJASA bahawa mana-mana kawasan majoriti Melayu muslim, mesti ditandingi oleh calon yang sama dan berwibawa.

“Ini penyelesaian yang selari dengan syarak dan dengan ketegasan prinsip ini, kita tidak akan mudah diugut dan diperbudak-budakkan,” tegasnya.

Sebelum ini, MIC dilaporkan menuntut kerusi-kerusi yang boleh dimenangi pada PRU15 daripada UMNO bagi membolehkan mereka berada kembali di dalam kerajaan khususnya di negeri.

Presidennya, Tan Sri S Vigneswaran berkata, seperti mana dilakukan oleh MIC pada dua pilihan raya sebelum ini dengan menyerahkan kerusi milik MIC kepada UMNO, maka parti itu juga berhasrat untuk berbuat demikian pada pilihan raya akan datang.

Dakwanya, pada PRU14 lalu, UMNO juga tewas di beberapa kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi, maka pada PRU akan datang, MIC perlu diberikan ruang bertanding di kerusi-kerusi boleh dimenangi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button