Berita Utama

Dr Mohd Daud Bakar dilantik Pengerusi MAIWP baharu

Pelantikan bersama 21 ahli MAIWP baharu diperkenan Agong

KUALA LUMPUR, 12 Rejab 1442H, Rabu – Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Datuk Dr Mohd Daud Bakar dilantik sebagai Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) baharu, berkuat kuasa 10 Februari lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan itu bersama 21 ahli MAIWP baharu, mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Zulkifli menyerahkan watikah pelantikan kepada mereka yang berkenaan di Kompleks Islam Putrajaya, Putrajaya semalam.

Katanya Mohd Daud yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia adalah seorang tokoh dan pakar kewangan Islam, selain aktif menjadi penasihat syariah institusi kewangan di peringkat antarabangsa seperti di Oman; Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE); Perancis dan London, England.

Selain itu, Zulkifli memaklumkan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Abdul Aziz Jusoh dilantik sebagai Timbalan Pengerusi MAIWP yang baharu.

Zulkifli berkata selari dengan peruntukan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505], seramai lima ahli ex-officio turut dilantik.

Mereka adalah Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan mewakili Ketua Setiausaha Negara; Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun; Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin mewakili Ketua Polis Negara; Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah; dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Sementara itu, Zulkifli berkata Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Mohd Ajib Ismail pula dilantik sebagai Setiausaha MAIWP, selaras dengan Akta 505. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button