Berita Utama

KPM perlu perjelas isu fakta buku teks Sejarah diseleweng

Diminta nilai semula kandungan, buat tambah baik buku teks

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 12 Rejab 1442H, Rabu – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu segera memberi penjelasan berkaitan fakta di dalam Buku Teks Sejarah Tingkatan 4 yang didakwa diseleweng.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, hal berkenaan penting bagi mengelakkan sebarang kegusaran dan polemik yang berpanjangan.

Jelas beliau, proses penyediaan buku teks kebiasaannya berdasarkan kurikulum yang dirangka dari panel pakar sejarah terpilih, serta melalui proses semakan terperinci.

“Pemilihan penulisan buku teks juga melalui saringan yang ketat dan dinilai oleh lembaga penilai buku teks yang terdiri dari pakar-pakar sejarah yang berautoriti dan kredibiliti seperti pensyarah universiti, guru cemerlang dan pegawai kurikulum,” katanya seperti dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, wakil gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu pada Isnin membuat laporan polis berhubung fakta di dalam Buku Teks Sejarah Tingkatan 4 didakwa telah diselewengkan.

Selain daripada memasukkan elemen komunis sebagai pejuang kemerdekaan, buku teks Sejarah Tingkatan 4 itu juga mengangkat tokoh gerakan kiri nasionalis Melayu radikal dan mengiktiraf sumbangan mereka dalam perjuangan kemerdekaan.

Mengulas lanjut, Ustaz Mohd Azizee berkata, siasatan terperinci perlu dilakukan bagi mengenal pasti kebenaran dakwaan itu.

Selain itu, katanya, KPM harus menilai semula kandungan dan membuat penambahbaikan buku teks berkenaan.

“Aspek subversif atau elemen penerapan ideologi yang bercanggah dengan semangat patriotism wajar dikekang dan dielakkan.

“Apa yang penting dalam buku penulisan buku teks ialah berpegang kepada disiplin sejarah iaitu kejujuran terhadap fakta-fakta sejarah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button