Berita Utama

PAS nafi agihan kerusi MN temui jalan buntu: Ahmad Samsuri

Dakwa pembahagian kerusi masih di peringkat perbicangan

KUALA TERENGGANU, 12 Rejab 1442H, Rabu – PAS hari ini menolak dakwaan pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) antara parti di bawah gabungan Muafakat Nasional (MN) di Terengganu, menemui jalan buntu.

Naib Presiden PAS Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebaliknya isu pembahagian kerusi itu masih lagi di peringkat perbicangan, dan terlalu awal untuk mana-mana pihak menyatakan ia menemui jalan buntu.

“Pada saya tidak buntu cuma tidak selesai lagi, bukan penamat lagi. Baru dua kali bertemu (berbincang), jadi dua kali bertemu untuk kata sudah jalan buntu itu saya rasa terlalu awal. Panjang lagi perjalanan, InsyaAllah kita optimis kena berjaya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman baru-baru ini yang dilaporkan berkata, perbincangan antara UMNO dan PAS di Terengganu mungkin sudah menemui jalan buntu, setelah PAS menolak cadangan UMNO mengenai pengagihan kerusi.

Namun, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata ia merupakan pandangan peribadi Tajuddin dan beliau menyeru kepimpinan utama parti tidak berputus asa dan sentiasa mencari jalan penyelesaian. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button