Berita Utama

Pengasas Sugarbook mengaku tak bersalah

Mahkamah tetap jaminan RM10,000, sebutan semula kes 26 Mac

SHAH ALAM, 12 Rejab 1442H, Rabu – Pengasas laman sesawang dan aplikasi temu janji ‘Sugarbook’ didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas tuduhan menyiarkan kenyataan bertajuk ‘Top 10 Sugarbaby University In Malaysia’ yang mengakibatkan ketakutan atau kegentaran kepada orang awam.

Pengusaha IT, Chan Eu Boon, 34, mengaku tidak bersalah setelah pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Sabreena Bakar @ Bahari.

Dia didakwa menggunakan laman web, http://technave.com, untuk menerbitkan catatan bertajuk ‘Top 10 Sugarbaby University In Malaysia’ dengan niat menimbulkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang ramai pada jam 10 pagi, pada 10 Februari.

Kenyataan itu dilihat di sebuah universiti awam, di sini pada jam 6.26 petang hari yang sama.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin mencadangkan, jaminan RM100,000 kerana ia kesalahan serius susulan keterangan dimuat naik tertuduh boleh menyebabkan ramai rakyat terpengaruh dengan aplikasi itu.

Peguam T. Shashi Devan, yang mewakili tertuduh bagaimanapun meminta jumlah yang lebih rendah.

Beliau mengatakan bahawa jumlah itu tidak masuk akal dan bahawa anak guamnya tidak berisiko melarikan diri.

Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh menyerahkan pasportnya ke mahkamah.

Kes ini ditetapkan untuk sebutan semula pada 26 Mac.

Pengasas platform temu janji itu ditangkap di sebuah kondominium di Mont Kiara, Kuala Lumpur, pada 17 Februari.

Polis dilaporkan telah menerima 74 laporan di seluruh negara berkaitan dengan kes ini.

Semasa siasatan awal, suspek mengaku sebagai pengasas Sugarbook.

Pada 15 Februari, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat akses ke laman web Sugarbook kerana didakwa melanggar undang-undang penggunaan kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.

Namun, difahamkan bahawa pembangun Sugarbook kemudian membuat laman web alternatif untuk membolehkan penggunanya mengakses laman web yang disekat.

SKMM mengatakan pihaknya sedang memantau serta menyiasat Sugarbook dan akan mengambil tindakan terhadap pengguna atau pemilik platformnya jika mereka melanggar undang-undang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button