Berita Utama

Tanah Melayu sudah lama merdeka, tapi vernakular masih beroperasi

Sampai bila mahu ikut sistem pendidikan bersifat memisahkan yang diperkenalkan penjajah British?

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 12 Rejab 1442H, Rabu – Anak-anak kelahiran Malaysia sewajarnya mendapat sumber pendidikan sama sejak dari kecil untuk menghasilkan ‘produk’ mempunyai jiwa yang satu.

Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustazah Suriani Sudi berkata, sekolah adalah platform utama pendidikan dan ia merupakan asas dalam menyemai perpaduan masyarakat di Malaysia. 

Berikutan itu, katanya, kewujudan sekolah vernakular yang dibawa konsepnya sejak zaman pemerintahan British sebelum era kemerdekaan sehingga selepas merdeka, hari ini tidak membawa manfaat untuk membina perpaduan masyarakat yang jitu.

“Sekolah vernakular sangat tidak membantu ke arah penyatuan bangsa. Dapat dilihat juga beberapa kejadian menunjukkan terdapat rakyat kita yang tidak boleh berbahasa kebangsaan. 

“Sungguh pelik dan janggal. Hidup dan bersekolah di Malaysia tetapi tidak boleh berbahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu. 

“Kalaulah alasan untuk mengajar bahasa Mandarin dan Tamil supaya sekolah vernakular dikekalkan, boleh sahaja diadakan masa untuk belajar bahasa tersebut di sekolah kebangsaan. Atau adakah mereka ini punya agenda tersembunyi di sebalik sekolah vernakular ini?,” soalnya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Lebih membimbangkan, katanya, apabila terdapat laporan pada Disember tahun 2019, bahawa lebih 900 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) menyatakan pendirian tidak bersetuju terhadap pengajaran dan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah tersebut. 

Walhal, tulisan Jawi adalah sebahagian daripada tulisan bahasa Melayu, tegas Ustazah Suriani.

“Bagi memastikan perpaduan ini dapat dipupuk, salah satu caranya ialah menerusi penguasaan bahasa Melayu termasuk pemahaman terhadap budaya serta sejarah tulisan Jawi. 

“Tetapi mereka tidak mahu ianya berlaku dengan alasan kononnya ia adalah agenda untuk menyebarkan Islam kepada para pelajarnya.

“Kesemua ini menunjukkan kepada peri pentingnya sekolah satu aliran diwujudkan untuk membentuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. 

“Sampai bila kita masih nak teruskan menggunakan sistem sekolah pelbagai aliran yang dibenarkan wujud oleh penjajah British dahulu untuk memisah-misahkan kita?,” soalnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button